Berita

Saya tahu macam mana Noor Hisham kerja: Timbalan Menteri

- Diterbit 12 November 2020 4:39 AM MYT

TIMBALAN Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali membidas sikap segelintir pihak yang mempersoalkan kredibiliti dan komitmen Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam usahanya menangani serta membanteras penularan pandemic Covid-19 di negara ini.

Jelas beliau, Noor Hisham adalah antara individu yang paling komited dan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat terjaga sejak menularnya wabak berkenaan pada Februari lalu.

“Saya terkejut apabila ada individu tertentu sama ada orang awam mahupun ahli politik tergamak mempertikaikan kredibiliti serta pengorbanan yang telah dilakukan oleh KP Kesihatan dalam membanteras wabak Covid-19 di negara ini.

“Jika kita merujuk kepada frontliners (barisan hadapan), Dr Noor Hisham merupakan orang nombor satu atau paling depan dalam barisan hadapan yang ‘berperang’ dengan virus Covid-19 selama ini.

“Beliau (Dr Noor Hisham) telah mendedikasikan sebahagian besar kehidupannya dalam menjaga aspek kesihatan rakyat di negara ini dan bukan hanya ketika wabak Covid-19 melanda sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kelmarin, suasana persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila kenyataan “DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati” dikeluarkan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

King Sing ketika membahaskan rang undang-undang itu mempersoalkan mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi Covid-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung di televisyen.

Ujar Dr Noor Azmi lagi, beliau bukan sahaja menyokong Dr Noor Hisham disebabkan mereka bersama dalam Kementerian Kesihatan tetapi kerana tahu bagaimana Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia itu bekerja, menjalankan tanggungjawab dan amanahnya setiap hari untuk memastikan wabak maut itu dapat dihapuskan di negara ini.

“Kami di Kementerian Kesihatan termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Dr Noor Hisham setiap hari akan bermesyuarat, berbincang dan bertukar idea seawall jam 8 pagi sehingga lewat petang mencari penyelesaian membanteras penularan wabak Covid-19 yang sudah memasuki gelombang ketiga.

“Semua pihak memberi komitmen sepenuhnya dan apatah lagi Dr Noor Hisham sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pastinya mesti menunjukkan contoh terbaik kepada warga kesihatan lain.

“Jadi tindakan pihak tertentu mempertikaikan amanah yang telah dlaksanakan oleh beliau adalah tidak bertanggungjawab serta tak masuk akal,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas