Berita

Saya naik dan jatuh dalam politik… kekal setia pada UMNO – Annuar

- Diterbit 25 November 2020 2:06 AM MYT

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menegaskan akan kekal sebagai ahli dan pemimpin UMNO sekaligus menafikan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dalam temubual langsung dengan portal The Malaysian Insight, Annuar menegaskan sebagai orang lama dalam parti, kesetiaan beliau teruji beberapa kali dan terbukti sehingga hari ini masih kekal dengan UMNO.

Beliau pernah melalui berbagai situasi termasuk berpisah dengan Tengku Razaleigh Hamzah semasa pemimpin UMNO Kelantan itu menubuhkan parti Semangat46 pada tahun 1988.

“Saya naik dan jatuh dalam parti, berpisah dengan Tengku Razaleigh, ikut Dr Mahathir, dicemuh orang (Kelantan), saya kekal dengan parti, semasa Krisis Perlembagaan (1988), krisis dengan istana, berlaku krisis dengan Musa Hitam-Tengku Razaleigh, saya ikut Dr Mahathir.

“Dan selepas Dr Mahathir keluar daripada UMNO (2016), saya kekal dengan UMNO, setiap kali saya buat pendirian, saya kena kutuk, saya kalah dalam pilihanraya, saya jatuh berkali-kali, tapi saya kekal dalam UMNO, jadi kalau orang baru yang belum lalu macam saya, tak boleh lah menghina saya begitu…

“…yang pastinya saya adalah orang yang memilih UMNO sebagai wadah perjuangan tetapi bukan orang yang fanatik, nak benci semua orang, nak berbalah dengan semua orang.

Beliau mengumpamakan sikapnya seperti seorang lelaki yang kekal kepada seorang isteri dan tidak berhasrat untuk bernikah dengan lebih ramai individu.

“Kalau seorang pun kita tidak mampu, maka tidak perlulah kita bercita-cita besar. Orang lama dalam UMNO tahu siapa saya tetapi ahli baharu, mereka boleh fikir sendiri,” katanya.

Sementara itu, menjawab isu berbeza, Annuar memberitahu UMNO akan terus bertanding dengan lambang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata rundingan masih diteruskan dan tidak menolak andaian untuk bermuafakat dengan parti lain dalam pilihan raya itu.

Annuar juga menjelaskan beliau tidak maklum sekiranya PAS akan bertanding dengan lambang PN.

“Sekarang kita Barisan Nasional. Kita buat keputusan akan terus bertanding (sebagai) Barisan Nasional.

“Tapi kita juga terima hakikat akan terima kerjasama dengan pihak lain.

“Kalau PAS dalam PN, mungkin BN dan PN akan berunding dan bermuafakat,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas