Berita

Sasar warga Putrajaya intelek

PESERTA beyblade menunjukkan alat mainan masing-masing sebelum pertandingan dimulakan pada Hari Terbuka Pusat Pembelajaran Kejiranan Putrajaya 2019 baru-baru ini.
- Diterbit 26 Oktober 2019 9:15 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Hari Terbuka Pusat Pembelajaran Kejiranan 2019 yang dianjurkan di Kompleks Kejiranan Presint 16 di sini baru-baru ini fokus kepada pertandingan berkonsepkan pendidikan.

NORNIE MASIHA

Penolong Pengarah Kanan (Pusat Pembelajaran Kejiranan) Bahagian Perkhidmatan Komuniti Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), Nornie Masiha Ab. Manan berkata, program yang dilakukan setiap tahun itu juga bertujuan meraikan ahli perpustakaan.

“Ini merupakan aktiviti tahunan yang mengumpulkan semua ahli. Sehingga kini kita merekodkan kira-kira 15,000 ahli.

“Terdapat juga beberapa jenis pertandingan yang kita tetapkan syarat mesti menjadi ahli sebelum mengambil bahagian. Ia bertujuan memperbanyakkan lagi ahli perpustakaan,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Nornie Masiha, dengan menjadi ahli, segala kemudahan yang disediakan di perpustakaan dapat digunakan sepenuhnya selain menyertai pelbagai aktiviti tahunan termasuk bengkel dan kelas bahasa.

Ujarnya, aktiviti tahunan adalah pertandingan mewarna manakala kelainan pada tahun ini adalah penganjuran pertandingan bercerita dan membaca dalam Bahasa Inggeris.

“Selain daripada tempat, kita juga ada kelainan penganjuran pertandingan. Setiap tahun kita tukar konsep pertandingan seperti tahun ini, kita adakan pertandingan bercerita dan membaca dalam Bahasa Inggeris.

“Lebih 25 aktiviti dilakukan dan ada yang dijayakan secara kerjasama dengan agensi atau jabatan lain.

“Semua aktiviti berteraskan perkhidmatan untuk pendidikan. Selain itu, pada Hari Terbuka ini juga, kita memberi penghargaan kepada ahli yang aktif, mereka menerima hadiah berupa wang tunai dan cenderamata,” jelasnya.

Dalam pada itu, tambah Nornie Masiha, pelbagai peringkat umur terlibat termasuk dewasa dan ibu bapa boleh terlibat dalam aktiviti atau pertandingan yang dianjurkan seperti reka bentuk blok yang memerlukan empat orang dalam satu kumpulan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas