Berita

Saringan kesihatan, disinfeksi di Pasar Borong Kuala Lumpur

SEBUAH lori disembur cecair disinfeksi sebelum dibenarkan masuk ke Pasar Borong Kuala Lumpur malam tadi.
- Diterbit 27 Mac 2020 2:08 PM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan kerja-kerja saringan kesihatan di Pasar Borong Kuala Lumpur dengan menyasarkan pekerja-pekerja penghantaran barangan mentah.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, tugasan tersebut melibatkan saringan suhu badan untuk pemandu dan pekerja di dalam lori.

“Jika didapati suhu melebihi 37.5 celsius, kami akan menyembur cairan disinfeksi ke atas lori tersebut,

“Mereka juga akan diberi topeng muka sekiranya tiada sebelum berurus niaga atau meletakkan ikan, sayur atau buah di pasar borong,” katanya.

Khairul Azmir berkata, kerja-kerja itu dilaksanakan mulai 27 hingga 29 Mac ini bermula pukul 12 tengah malam hingga 8 pagi.

“Kemudian ia bersambung dari pukul 8 pagi hingga pukul 4 petang dan dari pukul 4 petang hingga pukul 12 tengah malam,” katanya.

Kata Khairul Azmir, pihaknya turut menguruskan laluan masuk ke dalam pasar borong tersebut supaya tidak sesak.

“Kami akan mengawal dan mengehadkan bilangan pembeli pada satu-satu masa masuk ke pasar borong.

“Sekiranya terdapat pelanggan yang didapati suhu melebihi 37.5 celsius, mereka akan diminta balik rumah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas