Berita

Santuni golongan OKU dalam tempoh PKPB

AHMAD Shukri menyampaikan sumbangan kepada ibu warga OKU di PPR Desa Rejang sambil diperhatikan Mohamad Fuad (belakang).
- Diterbit 19 Mei 2020 9:17 AM MYT

KUALA LUMPUR – Prihatin terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) lebih-lebih lagi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang amat mencabar ini, Khaira PPZ dengan kerjasama Ramly Food Processing Sdn.Bhd berganding bahu meringankan beban golongan tersebut.

Melalui kolaborasi murni kedua-duanya, 100 OKU yang terdiri daripada autism, pekak, bisu dan hilang upaya menerima sumbangan berbentuk wang tunai serta barangan makanan sejuk beku daripada jenama Ramly Burger.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff, sumbangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM25,000 tersebut merupakan bantuan tambahan bagi membantu menampung kos perubatan mereka.

“Khaira PPZ sentiasa mengalu-alukan kolaborasi seperti ini untuk membantu lebih ramai lagi golongan yang memerlukan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan seperti ini sekali gus dapat mengembalikan senyuman di bibir mereka,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Shukri turut menyampaikan simbolik sumbangan kepada dua orang OKU di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang. Turut hadir Pengurus Besar Kumpulan Ramly Food Processing Sdn. Bhd, Mohamad Fuad Abd Rashid -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas