Berita

Sambutan Tahun Baru Cina serlahkan perpaduan masyarakat

ROZMAN (tiga dari kiri), Simsudin (tiga dari kanan), Amir (empat dari kanan) bersama pemimpin-pemimpin tempatan semasa berkunjung sebuah majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 31 Januari 2020 9:30 AM MYT

LABUAN – Sambutan Tahun Baru Cina yang disertai masyarakat pelbagai kaum dan agama membuktikan keunikan Labuan sekali gus menyerlahkan konsep perpaduan di Malaysia, kata Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

“Tradisi rumah terbuka dan saling kunjung mengunjung oleh rakyat pelbagai lapisan untuk meraikan Tahun Baharu Cina perlu kita pertahan dan teruskan.

“Sambutan di Labuan sangat meriah dengan pelbagai juadah dan kebanyakan majlis rumah terbuka menghidangkan makanan halal untuk rakan-rakan dari pelbagai bangsa serta kepercayaan,” katanya yang ditemui semasa berkunjung ke sebuah majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussein berkata, Tahun Baru Cina yang disambut setiap tahun merupakan simbol kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat di Labuan.

“Kepelbagaian tersebut merupakan imej kepada pulau ini kerana rakyat di sini hidup bersatu padu dan saling hormat menghormati.

“Ia juga merupakan aset yang penting kepada Labuan dan seterusnya dapat memainkan peranan dalam membangunkan kembali ekonomi Labuan,” katanya.

Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Labuan, Datuk Wong Kii Yii pula berharap tahun tikus membawa kemakmuran berterusan kepada Malaysia khususnya Labuan.

“Diharap tahun ini ekonomi negara akan bertambah kukuh dan disokong dengan rakyat yang bersatu hati seperti sebuah keluarga besar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Labuan, Simsudin Sidek pula melahirkan kesyukuran dengan keharmonian yang ditunjukkan oleh warga Labuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas