Berita

Sambutan Tahun Baharu Cina hanya bersama ahli keluarga – Ismail Sabri

- Diterbit 4 Februari 2021 12:54 PM MYT

PERAYAAN Tahun Baharu Cina termasuk upacara sembahyang  hanya dibenarkan disambut di rumah bersama ahli keluarga, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata upacara sembahyang di tokong tidak dibenarkan kecuali kepada lima ahli jawatankuasa tempat ibadat berkenaan dengan orang ramai digalak melakukan upacara itu di kediaman masing-masing.

“Prosedur operasi standard (SOP) ini pernah kita lakukan sewaktu Hari Raya Aidilfitri, begitu juga Deepavali. Bagaimanapun, untuk Sarawak kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk umumkan kerana di sana ada PKP, ada PKPB ,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Beliau berkata acara makan besar sempena perayaan itu juga terhad kepada ahli keluarga dari kediaman yang sama sahaja, selain aktiviti ziarah dari rumah ke rumah, rentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan.

Selain itu, persembahan dan kebudayaan yang lazim seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, persembahan opera Cina dan pertunjukan pentas juga tidak dibenarkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju menamatkan PKP Diperketatkan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 408 ujian saringan dan daripada jumlah itu 125 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Bagaimanapun, semua kes positif yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan didiscaj hari ini dan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan.

Mengenai kesalahan ingkar SOP, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 731 individu semalam dan daripada jumlah itu, 709 individu dikompaun, 19 direman dan tiga dijamin.

Bagi Ops Benteng pula, beliau berkata 20 pendatang tanpa izin dan satu tekong ditahan serta 14 kenderaan darat dirampas semalam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas