Berita

Salur bantuan ikut SOP, elak pertindihan

PUSAT pengumpulan bantuan di DBKL Jalan Tun Razak mula terima bantuan.
- Diterbit 30 Mac 2020 8:08 AM MYT

PUTRAJAYA – Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP) menetapkan supaya setiap bantuan yang ingin disalurkan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan melalui pusat pengumpulan barangan sumbangan di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Ini kerana kata Pengerusinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa, langkah itu bagi mengelakkan pertindihan sumbangan atau terlepas pandang berlaku.

“Kita juga khuatir tentang keselamatan sukarelawan selain mahu memastikan sumber yang mereka ada secara optimum. Ada yang dapat banyak, ada yang tidak dapat.

“Sesiapa yang ingin bantu boleh hubungi pusat pengumpulan ini termasuk sumbangan kepada warga asing dan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa- Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” katanya.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memberitahu, penetapan itu juga selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan.

Jelas beliau, ia berikutan sehingga pukul 6 petang semalam, Wilayah Persekutuan merekodkan 429 daripada 9,664 orang yang diperiksa, positif Covid-19 dan pertambahan satu lagi zon merah iaitu di Kampung Baru, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas