Saiz pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM1.78 trilion
SIM pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Saiz pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM1.78 trilion

SAIZ pasaran ekuiti Malaysia kini bernilai RM1.78 trilion setakat 25 September lepas.

Timbalan Menteri Kewangan, Sim Chee Keong berkata ia merupakan peningkatan sebanyak RM42.68 billion atau kira-kira 2.5 peratus berbanding RM1.74 trilion pada 31 Disember tahun lalu.

Menurut Sim, penyertaan GLIC dalam pasaran ekuiti di Malaysia mewakili 7.7 peratus daripada jumlah purata nilai dagangan harian dengan sektor tumpuan seperti perbankan, industri berkaitan komoditi dan lain-lain.

“Berdasarkan data daripada Bursa Malaysia dalam Dokumen Tinjauan Ekonomi 2024 oleh Kementerian Kewangan, prestasi urus niaga pada tahun ini, setakat 31 Ogos adalah lebih baik berbanding tahun lalu.

“Khususnya dari segi peningkatan bilangan unit yang diurus niaga iaitu jumlah bilangan unit urus niaga meningkat sebanyak 14.4% daripada 489.4 bilion unit kepada 559.6 bilion unit dan purata urus niaga harian juga meningkat 15.1% daripada 3 bilion unit kepada 3.5 bilion unit,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai jumlah Ringgit Malaysia yang telah dilabur oleh syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan GLIC di Malaysia dan di luar negara.

Tambah beliau, sepanjang tempoh 2019 hingga 31 Ogos 2023, sebahagian besar atau lebih 60% dana pelaburan GLIC adalah dalam pasaran domestik.

Jelasnya lagi, berdasarkan peruntukan aset strategik (strategic asset allocation), secara purata antara 15.8% hingga 62.7% dana pelaburan GLIC adalah dalam ekuiti tersenarai domestik di Bursa Malaysia.

“Sehingga 31 Ogos 2023, jumlah dana pelaburan GLIC yang terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM1,096 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 64.9% yang mana 24.4% adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

“Permodalan Nasional Berhad (PNB) pula sebanyak RM332 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 84.3% yang mana 74.4% adalah dalam ekuiti tersenarai
domestik.

“Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] berjumlah RM167 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 79.3% yang mana 45.2% adalah dalam ekuiti tersenarai domestik,” ujarnya.

Selain itu, Sim berkata, Lembaga Tabung Haji (LTH) pula dengan jumlah dana pelaburan bernilai RM91 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 90.1% yang mana 18.3% adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

“Bagi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) keseluruhan jumlah dana pelaburan pula sebanyak RM10.5 bilion dengan keseluruhan dana dilaburkan dalam pasaran domestik yang mana 52% adalah dalam ekuiti tersenarai domestik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pula selaku pengurus dana kekayaan negara telah membuat pelaburan domestik sebanyak RM9.2 bilion dalam tempoh 2019 sehingga 2022 dan ia bersamaan 32.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang bernilai RM28.3 bilion.

“Dalam hal ini, peranan Khazanah tertumpu untuk mewujudkan nilai tambah melalui ‘active stewardship’ dalam syarikat pelaburannya untuk menyokong dan mengukuhkan nilai pasaran syarikat.

“Di samping itu, tumpuan Khazanah juga adalah kepada aset strategik dan aset pembangunan seperti sektor penerbangan dan pelancongan yang menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Jelas beliau, sehingga 31 Disember 2022, jumlah portfolio pelaburan Khazanah dengan Nilai Aset Boleh Direalisasikan adalah sebanyak RM122.5 bilion dan daripada jumlah berkenaan, nilai pasaran pegangan Khazanah dalam negara adalah berjumlah RM81.2 bilion atau 66.3 peratus. – WILAYAHKU

Share This