Berita

Saddil Ramdani harap dapat diturunkan malam ni

- Diterbit 9 Mac 2021 8:28 AM MYT

KELAB Bola Sepak Sabah (Sabah FC)  berharap kelibat pemain import dari Indonesia Saddil Ramdani dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi Liga Super di Alor Setar malam ini.

Pengurus Sabah FC Marzuki Nasir berkata pihaknya akan mendapatkan kebenaran daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi membolehkan Saddil yang telah tamat tempoh kuarantin hari ini bermain bersama skuad The Rhinos.

Skuad Sabah FC setakat ini beraksi dengan hanya seorang pemain import Park Tae Sue dari Korea Selatan manakala Saddil serta tiga lagi pemain import  Levy Clement Madinda (Gabon), Sam Johnson (Liberia) dan Risto Mitrevski (Macedonia Utara) masih menjalani tempoh kuarantin.

“Semua pemain import sudah ada di Malaysia dan seorang daripadanya Saddil akan habis tempoh kuarantin esok (hari ini). Kita cuba minta kebenaran daripada MFL untuk membawanya ke Kedah.

“Bagi tiga lagi pemain import, mereka memang tidak dapat beraksi lagi kali ini. Tapi kita akan pastikan ketiga-tiga mereka akan tersedia untuk aksi di laman sendiri berdepan PJ City FC pada 13 Mac ini,” katanya dalam temu bual di laman Facebook rasmi Sabah FC.

Sementara itu,  ketua jurulatih skuad Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto berkata mungkin terdapat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama akan dilakukan pada aksi menentang KDA FC malam ini memandangkan beberapa pemain mengalami kecederaan.

Katanya, walaupun mengharapkan perlawanan menentang naib juara Liga Super 2020 itu menyebelahi mereka, namun Kurniawan mengakui tidak mahu meletakkan pemain yang tidak sepenuhnya cergas bermain pada malam ini.

“Semua pasukan semestinya mahu menang dan Kedah bukan pasukan yang mudah untuk kita. Saya berharap semua perancangan yang kita buat dapat dilaksana sebaiknya malam ini,” katanya.

Sabah FC mengutip satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Melaka United FC pada perlawanan pertama Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam kenyataannya berharap agar The Rhinos dapat memperbaiki kelemahan pasukan dan sentiasa memburu kemenangan dalam setiap perlawanan dihadapi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas