Sabah lancar kempen sifar pandemik COVID-19
KETUA Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor (kanan) mengaminkan bacaan doa pada pelancaran kempen sifar pandemik COVID-19 di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini. Foto - BERNAMA

Sabah lancar kempen sifar pandemik COVID-19

KETUA Menteri Datuk Hajiji Noor dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini melancarkan Kempen Sifar Pandemik COVID-19 Peringkat Negeri Sabah secara dalam talian.

Hajiji menyempurnakan pelancaran kempen itu di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini manakala Dr Adham di pejabatnya di Putrajaya.

Turut menyertai Hajiji dalam majlis itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Shahelmy Yahya dan Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Sementara itu, Dr Adham ketika berucap pada majlis itu meminta semua pihak bersatu padu menyokong usaha murni Kerajaan Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menjayakan program Sifar Pendemik COVID-19 di Sabah.

“Usaha ini selaras dengan pelan pemulihan negara dan harapan kami di KKM ialah mahukan program ini berjaya bagi memastikan negara kita bebas dengan COVID-19. Kita juga berharap program seumpama ini dapat dilaksanakan di negeri-negeri lain.

“Kejayaan program ini amat bergantung kepada kerjasama rakyat dan semua pihak dalam mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Dr Adham berkata KKM dengan kerjasama agensi lain akan meneruskan kesepaduan dalam mencari pendekatan terbaik untuk memastikan penularan wabak COVID-19 dalam komuniti dapat dicegah.

Beliau berkata sehubungan itu KKM dan agensi lain sentiasa berfikir untuk melaksanakan apa sahaja yang terbaik untuk memastikan negara ini bebas daripada COVID-19.

“Solidariti semua masyarakat juga sangat bererti untuk memastikan komuniti kita dapat diperkasa selaras dengan pelan pemulihan negara serta impian semua pihak yang mahu negara kita kembali normal seperti dahulu,” katanya. – BERNAMA

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )