Berita

S. Kumar sedia turunkan ilmu

KETANGKASAN Kumar menjaga gawang negara pasti tidak akan dilupakan peminat sukan hoki negara.
- Diterbit 7 Mac 2020 8:31 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bekas penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, 40, sudah memasang niat untuk bersara sejak tahun 2015 lagi.

Namun dia terus bersama pasukan kebangsaan memandangkan khidmatnya masih diperlukan sekiranya layak ke Sukan Olimpik.

Pun begitu, selepas Malaysia gagal ke Olimpik Tok­yo 2020, dia terfikir untuk mengasah bakat penjaga gol muda seterusnya memberi peluang kepada mereka dalam dunia hoki.

“Bakat mereka perlu diasah bagi pembangunan jangka masa panjang,” ujarnya dalam satu sidang media khas mengumumkan persaraannya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kumar turut dilantik oleh Konfenderasi Hoki Malaysia (KHM) sebagai jurulatih penjaga gol bagi skuad remaja kebangsaan.

“Peluang yang diberikan KHM amat besar dan penting. Saya sudah bersedia untuk berkongsi ilmu ber­kenaan dengan generasi muda negara dalam memastikan misi pasukan hoki Malaysia ke Sukan Olimpik 2024, Paris menjadi kenyataan,” ujarnya.

Terdahulu selepas hampir 20 tahun menabur bakti kepada negara, akhirnya mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa.

Kumar yang dianggap sebagai penjaga gol terbaik negara serta antara yang terbaik dunia berjaya mencatatkan 321 kap sepanjang karier dalam sukan hoki.

Dia yang mula menyarung jersi kebangsaan sejak Sukan SEA Brunei 1999 merupakan antara individu yang membantu pasukan Malaysia meraih pingat perak dalam Sukan Asia Guangzhou 2010 dan pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas