Berita

Rundingan kerusi UMNO, Pas telah dibuat dua kali

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 20 Disember 2020 6:49 AM MYT

KENYATAAN Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkenaan dengan perbincangan kerusi pilihan raya diantara UMNO dan Pas yang tidak membabitkan dua parti tersebut telah disalah ertikan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, kenyataan Asyraf itu tidak menggambarkan UMNO dan Pas tidak akan berunding mengenai kerusi pilihan raya.

“Maksud Asyraf adalah kita telah membuat perundingan dengan Pas telah dua kali, dan telah ada kerangka persefahaman dengan Pas mengenai kerusi mana (yang hendak bertanding) dan sebagainya.

“Kita (UMNO) dengan Pas juga berada di dalam Muafakat Nasional (MN) dan setiap dua minggu ada mesyuarat. Jadi kita ada persefahaman yang baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan di Taman Segar, Cheras di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, apa dimaksudkan oleh Asyraf adalah perundingan yang formal kerana BN menghormati kedudukan PAS sebagai ahli gabungan Perikatan Nasional (PN)

“Mungkin di dalam perundingan itu, PAS terlibat diatas platform PN.

“Dan sama seperti dengan UMNO, kita sebut BN supaya setelah selesai perundingan diantara UMNO, MCA, MIC dan PBRS, kita sudah ada kerangka (dibawah BN).

“Kita boleh duduk atas nama BN dan juga PN dan diperingkat Jawatankuasa Pemandu dan Jawantakuasa Perunding yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamad Hassan,” katanya.

Annuar berkata, ketika ini rundingan masih lagi berjalan di peringkat seterusnya.

“Rundingan ini bermula dengan peringkat parti yang melibatkan UMNO dan PAS. Kemudian UMNO dengan MCA, MIC dan PBRS,”

“Jadi jangan buat laporan seolah-olah ada cut-off. Yang sebenarnya adalah cuma kaedah berunding sahaja. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas