Berita

Rundingan Damai Thailand: Ketua Fasilitator Malaysia lakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Perunding Thailand

- Diterbit 3 Februari 2023 3:15 PM MYT

BEKAS Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin mengadakan kunjungan hormat ke atas Jeneral Wanlop Rugsanaoh yang mengetuai Panel Dialog Keamanan bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) pada Jumaat.

Ini merupakan pertemuan kali pertama antara kedua-dua pemimpin selepas Zulkifli dilantik sebagai Ketua Fasilitator Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai di Selatan Thailand berkuat kuasa 1 Jan tahun ini.

Sekretariat PEDP dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dalam pertemuan itu, Wanlop dan Zulkifli membincangkan isu berkaitan proses damai di selatan Thailand.

“Wanlop berkata Pelan Komprehensif Bersama Ke Arah Keamanan akan dibincangkan dalam pertemuan akan datang bagi pelaksanaan dalam mengurangkan konfrontasi dan keganasan, mendapatkan perundingan awam dan mencari penyelesaian politik.

“Ketua fasilitator Malaysia juga memaklumkan bahawa rundingan damai pusingan keenam akan berlangsung pada 21 dan 22 Februari di Kuala Lumpur buat sementara waktu,” katanya.

Malaysia merupakan fasilitator bagi proses rundingan damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun yang memuncak pada Januari 2004 di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Zulkifli dilantik sebagai ketua fasilitator Malaysia yang baharu, menggantikan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang tamat perkhidmatannya pada 31 Dis 2022.

Rundingan antara kerajaan dan pemberontak bermula pada 2013 tetapi terhenti berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand setahun kemudian.

Rundingan kemudian diteruskan tanpa membabitkan parti utama termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Bagaimanapun, rundingan antara kerajaan Thailand dan BRN disambung semula pada 2019 yang menyaksikan kemajuan konkrit dan ketara dicapai, serta meningkatkan harapan agar keganasan di wilayah selatan Thailand dapat dihentikan.

Statistik kumpulan pemantau bebas Deep South Watch mendedahkan serangan keganasan yang berterusan di selatan Thailand, bermula pada 2004 di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla – yang telah meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas