Berita

Rumah warga emas musnah secara tiba-tiba

||
- Diterbit 26 Oktober 2020 6:15 AM MYT

SEORANG lelaki warga emas tinggal sehelai sepinggang apabila kediamannya yang berusia lebih 15 tahun musnah selepas runtuh secara tiba-tiba di Kampung Ganggarak Labuan, Sabtu lalu.

Kejadian pada pukul 5 petang itu menyaksikan Abidin Ali, 63, hilang tempat berteduh di saat wilayah itu berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).https://youtu.be/34GoyuJk2aU

Difahamkan, ketika kejadian Abidin berada di beranda rumah bersama anak Suzita Abidin, 39 dan cucunya yang berusia tujuh tahun.

Abidin berkata, pada awalnya dia sekeluarga mendengar bunyi seakan kayu patah sebelum kediamannya tiba-tiba runtuh.

“Anak dan cucu sempat keluar dari rumah manakala saya tidak sempat melarikan diri ekoran faktor usia.

“Runtuhan itu mengakibatkan saya terbaring dan terkena pada dinding rumah,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Dia yang tidak dapat menahan sebak memaklumkan hanya mengharapkan ihsan dari orang ramai bagi membantunya mencari tempat berteduh.

“Rumah itu mengalami pelbagai kerosakan dan usianya lebih 15 tahun.

“Ketika ini, kami hanya menumpang berteduh dengan ahli keluarga lain untuk sementara waktu. Mohon pihak berwajib bantu dengan membina rumah baharu memandangkan kami tiada lagi tempat berteduh.

Dalam pada itu, Abidin turut mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang menyantuninya ketika dia sekeluarga dilanda musibah yang tidak terduga.

“Terima kasih kepada semua yang prihatin akan nasib saya sekeluarga. Hanya Allah mampu membalasnya sahaja,” tambahnya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Agrobank ( 2-00-7221-00003974-3) atas nama anak Abidin, Suzita Abidin atau menghubunginya di talian 016-8482824. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas