Personaliti

Rumah selesa untuk warga PPR/PA agenda Rizalman

SENTIASA turun padang untuk bertanya khabar penduduk menjadi aktiviti utamanya sejak bergiat dalam politik. SENTIASA turun padang untuk bertanya khabar penduduk menjadi aktiviti utamanya sejak bergiat dalam politik.
- Diterbit 29 November 2020 7:14 AM MYT

WALAUPUN namanya pernah digugurkan sebagai calon pilihan raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Bandar Tun Razak pada saat-saat akhir dalam pilihan raya ke-14 yang lalu, figura ini tidak sesekali patah semangat, bahkan beliau terus mengepalai jentera parti untuk terus berkempen sekalipun keputusan tidak memihak kepada BN pada ketika itu.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, perubahan kerajaan di peringkat persekutuan sehingga menyaksikan BN kembali menjadi kerajaan pada penghujung Febuari 2020 memaksanya memendekkan ‘cuti’ kerana beliau mula dihubungi rakyat di kawasan parlimennya untuk meminta bantuan.

“Keputusan kerajaan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak pandemik COVID-19 pada Mac lalu menyebabkan saya harus kembali semula ke gelanggang untuk membantu rakyat yang terkesan.

“Apabila ramai dalam kalangan masyarakat mula menghubungi untuk memohon bantuan malah ada yang mahu merujuk pelbagai perkara ketika kita berdepan dengan suasana yang sangat asing, ia amat menyentuh hati kerana saya tahu mereka perlu dibantu dalam keadaan hilang sumber pendapatan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Rizalman, beliau mula berkecimpung dalam politik sejak tahun 1994 setelah menamatkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM) dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak.

“Pada tahun 2004, saya terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan ketika itu berumur 31 tahun. Saya memegang jawatan tersebut sehingga tahun 2013.

“Setelah itu, saya bertanding dalam pemilihan parti dan memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian pada tahun 2013 ketika berumur 39 tahun dan saya merupakan antara pemegang jawatan tersebut yang termuda di dalam negara,” katanya yang pernah dilantik menjadi Setiausaha BN Wilayah Persekutuan.

Beliau yang juga bekas Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pembabitannya dalam politik di kawasan tempat kelahirannya memberikan sedikit kelebihan kerana mengetahui selok belok kawasan tersebut.

“Apabila dilahirkan di dalam kawasan sendiri dan dipilih untuk berkhidmat di kawasan itu, ia merupakan satu kepuasan kerana kita mengetahui masalah setempat
dengan lebih terperinci.

“Melalui jawatan yang ada, banyak perkara dapat diselesaikan kerana di sini merupakan antara kawasan yang paling banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur,” katanya.

Rizalman berkata, sebagai Ketua Bahagian dan Pengerusi BN kawasan ketika itu, tanggungjawabnya tidak terhad kepada parti malah beliau turut berperanan seperti wakil rakyat kerana kedudukan wakil rakyat di situ yang tidak sealiran dengan kerajaan persekutuan.

“Cabaran utama untuk menjadi pemimpin di sini memang sukar kerana mempunyai 17 kawasan PPR dan PA yang melibatkan 23,000 unit rumah dan penghuninya adalah dari golongan B40 yang paling ramai di Kuala Lumpur.

“Sejak dari tahun 2008, wakil rakyat yang dipilih adalah dari pembangkang dan kawasan itu telah diabaikan. Oleh yang demikian, kebanyakan rakyat telah biasa menghubungi saya untuk memohon bantuan, mengajukan pertanyaan dan aduan sehingga menjadikan saya sebagai pusat aduan dan rujukan masyarakat,” katanya.

RIZALMAN (kanan) melihat surat tawaran menduduki Residensi Razakmas 2 yang diterima seorang penduduk PA Seri Labuan baru-baru ini.

Kata Rizalman, apabila UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan semula, beliau terpanggil untuk meneruskan khidmat bakti terutama kepada masyarakat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan memperuntukkan lebih RM200 ribu untuk membantu mereka yang terjejas.

“Dengan perbelanjaan yang besar, sudah pasti kita tidak dapat membantu seluruh masyarakat yang terkesan dengan PKP kerana sebahagian penduduk di sini adalah dalam kalangan B40 dan mereka yang berpendapatan rendah.

“Namun, kita sedaya upaya tidak menghampakan mereka dan memberi bantuan bersifat one-off selain merujuk kes-kes tersebut kepada pihak DBKL, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ)” katanya.

Menurut Rizalman, beliau turut meletakkan matlamat untuk meneruskan beberapa projek pembangunan semula rumah PPR dan PA yang terbengkalai sebelum ini.

“Projek tersebut perlu mempunyai hala tuju yang jelas dan sebahagian daripada projek ini telah terbengkalai sehingga penduduk di sini sukar untuk menentukan masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi harapannya melihat projek tersebut dilaksanakan semula untuk kebaikan setiap penduduk di sini yang telahpun mendiami kawasan ini lebih daripada 40 tahun lalu.

“Isu perumahan ini berkait rapat dengan isu sosial di kawasan ini. Rumah ini berkeluasan tidak lebih 450 kaki persegi. Sudah pasti tidak selesa dan menyumbang kepada masalah sosial yang sinonim dengan kawasan rumah flat seperi lumba haram, dadah dan sebagainya.

“Projek ini tidak hanya untuk orang Melayu memiliki hartanah di kawasan bandaraya semata-mata, ia turut melibatkan bangsabangsa lain agar mereka juga turut berpeluang memiliki hartanah di Kuala Lumpur.

“Projek ini juga tidak memerlukan mereka mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi kerana tawaran yang dikemukakan untuk memiliki rumah yang lebih selesa dan baik dengan harga di bawah RM30,000 dengan nilai sebenar lebih dari RM300 ribu,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas