Berita

Rumah Prihatin: KK Mart bangga dapat sediakan sumbangan untuk rakyat

- Diterbit 18 Julai 2021 7:55 AM MYT

PENGASAS dan Pengerusi Eksekutif KK Super Mart, Datuk Seri Dr K K Chai menzahirkan rasa gembira dan berbangga kerana berpeluang menyediakan sumbangan bagi membantu keluarga miskin serta terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19.

Katanya, bagi Program Jejak Prihatin yang dilancarkan pada 14 Julai lalu, pihaknya memberikan sumbangan beras dan barang keperluan.

“Bilangan sumbangan (Jejak Prihatin) adalah 7,000 pek. Ia diberikan kepada semua keluarga yang memerlukan sumbangan ini.

“Kami mengetahui, pada masa pandemik ini ramai orang sudah dibuang kerja, ada yang tidak dapat berniaga dan ramai terjejas pendapatan. Oleh itu, KK Mart tampil untuk menolong mereka,” katanya ketika ditemui Wilayahku selepas menyerahkan sumbangan bagi Program Jejak Prihatin pada Rabu.

Enggan berkongsi jumlah keseluruhan peruntukan yang sudah disalurkan sepanjang tempoh pandemik ini, Chai memberitahu, pihaknya telah bekerjasama dengan beberapa kementerian serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan golongan sasar menerima sumbangannya.

Jelasnya, setiap bulan syarikat yang diasaskannya itu akan memperuntukkan sejumlah wang dan barang keperluan yang mana dianggarkan kira-kira RM100,000 hingga RM200,000.

“Dalam Op Bantu baru-baru ini, kita sediakan barangan keperluan dan diberikan kepada pihak polis untuk diserahkan kepada semua kumpulan yang memerlukannya. Hari ini (14 Julai) rasa bangga kerana boleh bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan pula.

“Selain itu, kita juga sediakan ‘foodbank’ untuk MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan masjid-masjid di Wilayah Persekutuan serta lain-lain lokasi di samping menyalurkan terus bantuan kepada rumah anak yatim dan warga emas,” ujarnya yang mendapati keadaan penularan wabak semakin getir dan membimbangkan masa ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas