Berita

Rumah bagai hendak roboh

PENDUDUK menunjukkan bumbung rumahnya yang bocor setiap kali
PENDUDUK menunjukkan bumbung rumahnya yang bocor setiap kali
- Diterbit 18 Julai 2019 4:41 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Bantahan sebahagian penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini terhadap projek pembangunan Taman Rimba Kiara seolah-olah menafikan hak komuniti India di Rumah Panjang Bukit Kiara untuk menikmati kediaman baharu yang sudah ditunggu selama 37 tahun.

Jika tidak kerana masalah bantahan tersebut, pembinaan rumah baharu untuk penduduk berkenaan melalui projek berkenaan sudah lama dapat dilaksanakan.

Ini kerana, pembangunan yang direncanakan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu bertujuan memberi keselesaan kepada penghuni rumah panjang yang turut mengimpikan kehidupan selesa.

Tinjauan di sekitar rumah panjang terbabit mendapati, penghuninya terpaksa mendiami rumah berkeluasan kira-kira 30 kaki persegi selama lebih tiga ekad dengan keadaan kediaman yang daif serta diperbuat daripada papan termasuk di bahagian lantainya.

Lebih menyayat hati apabila rumah sempit berusia 37 tahun itu mempunyai beberapa kebocoran di bahagian bumbung sekali gus menjadikan penghuninya sukar untuk tinggal terutama pada hari hujan.

Menurut salah seorang penghuni, V. Veni, 38, dia tinggal di rumah panjang itu bersama nenek dan ibu bapanya sejak dari kecil.

“Sekarang sudah generasi keempat. Banyak masalah berlaku di rumah ini seperti kebocoran, struktur binaan pun telah senget.

“Di bahagian belakangnya pula terdapat kawasan hutan, saya tidak berani buka pintu belakang kerana bimbang ular masuk. Sekarang pun ada ular masuk, ini risiko besar untuk penghuni. Kalau nampak kita boleh buang, kalau tidak, ia akan membahayakan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Veni memberitahu, keadaan rumah yang uzur serta risiko bahaya menyebabkan penduduk rumah panjang sangat memerlukan rumah baharu yang lebih selesa serta selamat diduduki.

Malah katanya, hanya segelintir generasi awal yang mula mendiami rumah panjang dan bekerja keras di ladang masih ada berikutan kebanyakannya sudah meninggal dunia.

“Mereka sepatutnya diberi hak dan merasa duduk di rumah sendiri yang selesa. Rumah ini sangat kecil dan menyusah­kan penghuni terutama sekiranya berlaku kematian, tetamu sukar untuk masuk ke dalam,” jelasnya.

Seorang lagi penghuni, V. Danalicheni, 67, menzahirkan rasa bimbang sekiranya rumah yang diduduki hampir 40 tahun itu roboh berikutan diperbuat sepenuhnya daripada papan.

Katanya, pada masa ini, rumah tersebut sering ber­goyang serta dimasuki air ketika hujan lebat bersama ribut.

“Kalau angin kuat lagi, habis rumah boleh roboh. Sekarang pun sudah bergoyang kalau anak-anak saya bergerak di dalam rumah,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas