Selebriti

Rozita Che Wan jadi pilihan Angsa Emas Jewellery

||
- Diterbit 25 Februari 2023 3:19 AM MYT

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah aktres jelita Rozita Che Wan yang sering menjadi pilihan untuk mewakili seterusnya mempromosi sesuatu produk.

Terbaru, pelakon yang selesa dipanggil Che Ta kini dilantik sebagai wajah syarikat barangan emas, Angsa Emas Jewellery.

Pengarah Angsa Emas Jewellery, Datuk Zulhilmi Mukhtar berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Che Ta sambil berharap kerjasama itu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Emas bukan sahaja cantik dijadikan perhiasan tubuh tetapi juga boleh dijadikan ‘dana kecemasan’ ketika dilanda musibah.

“Selain wang tunai, orang ramai boleh menyimpan emas sebagai benteng kewangan terakhir dengan menjual atau memajaknya untuk mendapatkan wang tunai segera.

“Sejajar dengan itu sebagai peneraju perniagaan emas patuh syariah di negara ini, Angsa Emas Jewellery mahu melaksanakan misi memperluaskan industri emas dan melakukan kolaborasi strategik bersama selebriti popular seperti Che Ta,” katanya pada majlis memperkenalkan Che Ta dipilih sebagai Muse bagi Koleksi Eksklusif dan Koleksi Raya Angsa Emas Jewellery bagi tahun 2023, baru-baru ini.

ROZITA Che Wan sentiasa menjadi pilihan.

Sementara itu, Zulhilmi berkata, syarikat merancang melaksanakan transaksi jual beli emas secara bersemuka dan atas talian serta memperluaskan cawangan perniagaan pada tahun ini.

“Kami sedang membangun dan memperkasakan perlaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) patuh syariah di dalam perniagaan emas.

“Antara perancangan lain syarikat membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara, menggiatkan lagi aktiviti promosi dan kolaborasi korporat untuk memperkenalkan nama Angsa Emas Jewellery.

“Syarikat juga menawarkan peluang pelaburan kepada pelabur dengan menjadi pelopor perniagaan patuh syariah di Malaysia,” katanya.

Ketika ini, Angsa Emas Jewellery mempunyai dua kedai iaitu di Bangi dan Shah Alam, Selangor. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas