Artikel

Roti John Serunding makin popular

ROTI John Serunding terdiri daripada pilihan ayam atau daging dengan harga RM8 bertempat di Madrasah As’saadah Seksyen 1, Wangsa Maju. ROTI John
- Diterbit 15 April 2022 7:00 AM MYT

ROTI John adalah antara juadah terkenal yang dinantinantikan oleh orang ramai di bulan Ramadan. Keenakan Roti John yang disalut telur dan intinya seperti daging atau ayam cincang ditambah pula dengan sos cili, sos lada hitam, mayonis serta cheese membuatkan ramai orang tercaricari makanan ini.

Lebih menarik apabila intinya digantikan kepada serunding. Pelik tapi benar! Pengusaha Roti John Serunding, Mohamed Halim Mohamed Idris, 54, membuat
pembaharuan terhadap makanan tersebut dengan menggunakan juadah tradisi perayaan Hari Raya dalam perniagaan Roti Johnnya itu.

Bertempat di bersebelahan Madrasah As’saadah Seksyen 1, Wangsa Maju, Mohamed Halim berkata, Roti John Serunding sudah memasuki tahun ketujuh sejak 2016 ini merupakan cetusan ideanya tersendiri yang mengandungi dua jenis pilihan inti iaitu serunding daging atau ayam dan dijual dengan harga RM8 sahaja.

“Tahun ini saya standardkan saiz roti panjang sahaja. Sekiranya pelanggan ingin mencampurkan kedua-dua inti tersebut juga boleh dan harga masihnya sama. Bukan itu sahaja, jika mereka membeli dua Roti John, saya akan memberi diskaun daripada RM16 untuk dua roti kepada beli dua dapat RM15.

“Ada juga pelanggan tetap saya bertanya tentang kenaikan harga berbanding tahun sebelumnya, saya menjual dengan harga RM7 tetapi atas faktor kenaikan harga barang, saya terpaksa sesuaikan dengan modal serta keuntungan yang akan diperoleh. Sungguhpun begitu, alhamdulillah setakat ini tiada apa-apa isu berkenaan harga kerana rata-ratanya faham dengan keadaan semasa yang dialami peniaga,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Ahad.

Setiap hari dia akan membawa lima beg Roti John yang mengandungi 10 buku roti dan orang ramai akan mula datang ke kedainya pada pukul 5.30 petang ke atas.

“Dari segi promosi pula, anakanak saya banyak membantu seperti membuat video, ambil gambar dan share di Instagram, Facebook termasuk group WhatsApp.

Selain itu, saya juga turut dibantu oleh anak bongsu saya yang sanggup turun meniaga selepas pulang daripada sekolah untuk membantu ayahnya,” katanya lagi.

Berkongsi kisah permulaan Roti John Serunding diperkenalkan, Mohamed Halim berkata dia pertama kali memperkenalkan makanan ini ketika menjual di Bazar Ramadan Seksyen 1, Wangsa Maju pada tahun 2016 dan pernah mencecah sehingga 100 buku roti sehari.

“Pada mulanya saya takut sekiranya makanan ini tidak mendapat sambutan daripada orang ramai tapi alhamdulillah, tenyata ramai orang yang datang membeli dan rata-ratanya memberikan feedback yang cukup memuaskan serta berpuas hati dengan cita rasa terbaharu ini. Malah ada juga pelanggan yang setiap minggu akan repeat order.

SERUNDING pek juga dijual di Roti John Serunding Halim

“Kebanyakan respons yang saya terima mengatakan isinya terasa dan memang lain daripada yang lain sebab biasanya serunding dimakan bersama lemang atau ketupat tetapi sekarang di dalam roti pula. Inti yang paling mendapat sambutan adalah serunding daging kerana ada rasa pedas asli memandangkan ia diimport khas daripada Kampung Laut, Kelantan,” jelasnya.

Selain menjual di tapak niaganya, Mohamed Halim turut membuka peluang kepada semua pihak dan individu yang mahu melakukan infaq Roti John
Serunding atau Nasi Kukus Ayam Berempah di manamana Pusat Tahfiz, Madrasah atau Rumah Anak-Anak Yatim sepanjang Ramadan ini.

“Bagi mereka yang ingin melakukan infaq, boleh hubungi nombor saya iaitu 011-2180 0186 (Halim) atau anak saya 011-2318 0587 (Ziera) dan beritahu kami berapa jumlah pek yang anda mahukan.

“Saya berharap agar Roti John ini dikenali ramai bukan sahaja penduduk Wangsa Maju malah seluruh warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

HATIRAH membantu ayahnya menyiapkan tempahan pelanggan.

Sementara itu, anaknya, Nur Hatirah Mohamed Halim, 19, sebak dan bersyukur apabila ayahnya dapat kembali berniaga seperti biasa selepas perniagaannya
terhenti seketika akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan wabak COVID-19.

“Sangat terasa semasa PKP hari itu. Walau bagaimanapun, kami masih berpeluang menjalankan perniagaan seperti biasa dari rumah iaitu burger crispy dengan harga RM3 sahaja sepanjang bulan Ramadan yang mana kami akan collect tempahan sehari awal dan hantar sendiri ke rumah-rumah pelanggan.

“Minat mendalam terhadap bidang perniagaan sejak kecil dan selalu ikut ayah meniaga menyebabkan saya tidak merasa penat sedikit pun walaupun baru  sahaja pulang daripada sekolah sebaliknya saya mahu bantuan saya ini dapat memberi semangat kepada ayah untuk meneruskan perniagaan,” kata pelajar Sijil Tinggi pelajaran Malaysia (STPM) di High School Setapak, Kuala Lumpur ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas