Berita

Rosida dilantik Ketua Setiausaha KWP yang baharu

|ROSIDA Jaafar. |
- Diterbit 4 November 2019 8:54 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

PUTRAJAYA – Datuk Rosida Jaafar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang baharu berkuat kuasa hari ini (4 November 2019).

Beliau menggantikan Datuk Seri Saripuddin Kassim, 60, yang bersara wajib bulan ini. Rosida, 55, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun apabila mula menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1 Ogos 1989.

ROSIDA

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad ketika memaklumkan perkara tersebut berkata, Rosida mempunyai pengalaman dalam tadbir urus, kewangan dan pembangunan sosio ekonomi melalui penempatan di pelbagai agensi kerajaan seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) sebelum dilantik ke jawatan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosida berkelulusan Sarjana Muda Sains Pengurusan Tanah daripada University of Reading, England, United Kingdom dan A Level Cardiff, Wales.

Khalid berkata, beliau percaya dengan pengalaman luas dan kredibiliti yang dimiliki Rosida dapat membantu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

“Ini seterusnya dapat membantu kementerian melaksanakan fungsinya secara lebih strategik dan inklusif di dalam kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan secara keseluruhannya,” katanya. – Wilayahku

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas