Berita

RM3 juta diperuntukkan untuk baik pulih infrastruktur di dua perumahan kos rendah

DR Fary (kanan) bersama Bashir (tengah) melawat projek
- Diterbit 11 Disember 2020 7:03 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) menerima peruntukan sejumlah RM3juta melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dalam melaksana penambahbaikan infrastruktur kediaman perumahan kos rendah di Labuan.

Projek baik pulih itu membabitkan dua kawasan perumahan kos rendah iaitu Taman Perumahan Mutiara dan Taman LDA Sungai Bedaun.

Pengerusi Ahli Majlis Penasihat PL, Senator Datuk Bashir Alias berkata, peruntukan tersebut merupakan peruntukan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT) yang masing-masing bernilai sejumlah RM1.5 juta bagi projek penambahbaikan infrastruktur perumahan kos rendah.

“Peruntukan yang diterima menerusi KPKT yang bernilai RM1.5 juta itu digunakan dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan membaikpulih bumbung perumahan di blok L Taman Mutiara dan peruntukan daripada Kementerian Kewangan yang bernilai RM1.5 juta digunakan bagi menaik taraf infrastruktur kemudahan di perumahan Taman Mutiara dan Taman LDA Sg Bedaun,” katanya.

Beliau berkata demikianketika melakukan lawatan projek Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) di Taman Perumahan Mutiara dan Taman LDA pada Khamis lalu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr Fary Akmal Osman berkata, projek penambahbaikan dan penyelenggaraan itu meliputi pembaikan tangga, perparitan,
tempat letak kenderaan dan menyelenggara dewan.

“Tiga projek ditawarkan untuk pelaksanaan melalui kaedah perolehan sebut harga manakala 10 projek lagi diagih melalui cabutan undian berdasarkan pekeliling perbendaharaan.

“Daripada keseluruhan 13 projek, 12 projek telah pun siap sepenuhnya dengan bayaran dan empat daripadanya masih dalam proses membuat tuntutan bayaran,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas