RM 8 juta untuk pembinaan Kompleks IMAM

RM 8 juta untuk pembinaan Kompleks IMAM

PERTUBUHAN Sayang Al-Quran memerlukan kos sebanyak RM8 juta bagi pembinaan Kompleks Islam Pondok Madrasah Moden (IMAM) di Teluk Intan, Perak.

Kos ini juga turut melibatkan pembinaan sebuah pusat Tahfiz di Banting, Selangor.

Menurut pengerusinya, Mejar (B) Mohamad Qayyum A Badaruddin, fokus utamanya adalah pembinaan Kompleks IMAM dan dana yang sudah terkumpul setakat ini adalah RM 200,000.

“Aktiviti pecah tanah Kompleks IMAM di Teluk Intan itu sudah diadakan. Pembinaannya bermula selepas hari raya dan insya Allah akan mula beroperasi pada bulan Julai ini.

“Jumlah dana yang sudah ada sekarang adalah RM 200,000. Dana ini akan terus dikumpulkan dari sumbangan orang ramai, melalui program yang dianjurkan dan hasil penjualan buku.

“Namun kami sangat positif, buat dulu apa yang ada untuk membolehkan pembinaan bermula. Dalam masa yang sama, pengumpulan dana tetap diteruskan.

“Lokasi yang dipilih cantik walaupun di pedalaman agak jauh daripada Lebuh raya tapi lokasinya mudah dikunjungi. Kawasan itu juga tidak mudah banjir.

“Kesemua lokasi ini adalah tanah yang telah diinfaqkan oleh hamba Allah,” katanya kepada Wilayahku pada Majlis Perasmian Pembinaan Kompleks IMAM dan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Bersama Rakan Strategik di Embun Resort, Desa Pinggiran Putra, Putrajaya.

PENGERUSI Pertubuhan Sayang Al-Quran, Mejar (B) Mohamad Qayyum A Badaruddin berharap pembinaan Kompleks IMAM mendapat sokongan ramai pihak.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin yang juga Pengerusi DPIM Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kompleks IMAM ini memberi peluang kepada golongan anak yatim dan asnaf bermula daripada usia tujuh tahun untuk mendalami Al-Quran.

“Semua perbelanjaan mereka adalah percuma termasuk pembiayaan tempat tinggal, yuran pembelajaran serta makanan.

“Kompleks IMAM ini boleh menampung 500 pelajar apabila siap sepenuhnya dan pembelajaran diadakan secara harian.

“Pada permulaan kami ambil pelajar lelaki terlebih dahulu. Insya Allah apabila cukup tenaga pengajar dan kemudahan lengkap semua dah ada, kami akan ambil pelajar perempuan.

“Selain itu, IMAM juga membuka peluang kepada orang ramai dan masyarakat setempat untuk mendalami Al Quran,” jelasnya lagi.

Dari segi kemudahan pula, Kompleks IMAM akan dilengkapi dengan masjid, dewan kuliah terbuka dan tertutup serta bilik penginapan.

Selepas majlis pelancaran Kompleks IMAM ini, Mejar Qayyum juga berharap pembinaan pusat belajar Al-Quran ini mendapat sokongan ramai.

“Selepas pelancaran ini kami harapkan dapat membina keyakinan orang ramai, badan korporat dan individu yang berminat untuk menjayakan projek ini agar pembinaan dapat disiapkan secepat mungkin.

“Tujuan kami tidak lain iaitu untuk membina insan yang boleh memahami dan mengamalkan Al-Quran dalam hidup.

“Kekuatan kami adalah apa yang kami mahu itu jelas. Wawasan dan misi kami jelas.

“Selain harapan kepada pihak lain di luar sana, kami juga berterima kasih kepada senarai kumpulan dan jaringan yang positif dan sentiasa menyokong serta konsisten bersama kami,” tambahnya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS