Berita

River of Life rosak akibat vandalisme

LALUAN pejalan kaki pecah dan terkopak berikutan terdapat kenderaan yang melalui di atasnya.
- Diterbit 28 Jun 2019 6:28 AM MYT

DBKL tanggung kos hampir RM2 juta baiki kemudahan insfrastruktur

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Selepas kira-kira setahun dibuka kepada umum, projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) fasa pertama di sekitar Masjid Jamek, Jalan Tun Perak sehingga Jalan Raja mula menjadi ‘mangsa keganasan’ warga kota.

Kerosakan akibat perbuatan vandalisme itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah mengakibatkan kerugian yang tinggi kepada kerajaan.

Ini kerana, kos pembaikan yang perlu ditanggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pelaksana projek tersebut dari tahun lalu hingga Februari lepas dianggarkan mencecah RM2 juta.

Tinjauan Wilayahku di sekitar laluan berkenaan yang turut dikenali sebagai Kolam Biru itu mendapati, pelbagai kerosakan dapat dilihat dengan jelas antaranya salah satu cermin pada pemegang tangga pecah akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

Laluan sepanjang 150 meter itu turut dicemari dengan kesan conteng malah terdapat beberapa lantai kayu serta jubin yang rosak dan pecah.

Tampalan yang dilakukan bagi menggantikan lantai rosak pula tidak seperti keadaan asal sekali gus mencacatkan lagi panorama kawasan berkenaan.

Beberapa kemudahan awam seperti tong sampah juga dirosakkan manakala penunjuk arah berhadapan Masjid Jamek yang terletak berhampiran payung gergasi seperti payung hidraulik di Masjid Nabawi itu dicungkil sehingga menyukarkan pengunjung mengetahui arah serta nama lokasi setempat.

Difahamkan, kerosakan tersebut bukan sahaja disebabkan perbuatan pengunjung tidak bertanggungjawab malah akibat kegiatan pemain papan seluncur yang menjadikan kawasan RoL sebagai tempat mempamerkan aksi mencabar mereka.

Pemain papan seluncur terlibat menjadikan pemegang tangga serta beberapa tempat duduk di sekitar kawasan RoL sebagai tempat melakukan aksi mereka.

Ekoran itu, kawasan bucu tempat duduk pecah selain menyukarkan pengunjung beristirehat bagi menyaksikan keindahan pancuran air dilokasi pertemuan aliran Sungai Klang dan Sungai Gombak itu.

Lebih menjelekkan adalah kelibat golongan gelandangan yang tanpa rasa malu tidur di atas kerusi-kerusi yang disediakan untuk pengunjung di sekitar RoL.

Golongan terbabit juga menjadikan tembok serta pagar khususnya di hadapan Masjid Jamek sebagai tempat menyangkut pakaian mereka.

Keadaan itu mencemar dan merosakkan keindahan pemandangan kawasan RoL selain menyebabkan pelancong asing berasa takut dan tidak selesa serta tidak dapat merakam gambar kenangan di mercu tanda baharu ibu negara itu.

Statistik yang dikeluarkan Kementerian Wilayah Persekutuan menyatakan, sebanyak 530 gelandangan dikenal pasti berada di sekitar lokasi RoL dengan pecahan 446 (lelaki), 76 (wanita), kanak-kanak (enam) dan dua orang kurang upaya (OKU).

Kesemua mereka menjadikan kawasan panas melibatkan RoL iaitu di Jalan Lumut, Jalan Ipoh Kecil, Tiong Nam, Medan Tuanku, Masjid India, Jalan Petaling, Lebuh Pudu, Kolej Segi, Masjid Negara dan Brickfields sebagai tempat ‘melepak’ walaupun kerajaan telah menyediakan kemudahan serta pusat pelindungan yang selesa.

SERAMIK pada yang terdapat di ROL juga tercabut dan merekah.
CERMIN yang dipasang di sekitar ROL pecah akibat vendalisme di kawasan bersebelahan Lebuh Ampang.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas