Berita

Ringankan beban petugas media

PENGAMAL media di Astro Awani menerima sumbangan juadah berbuka puasa i-Hya Ramadhan YWP hari ini.
- Diterbit 27 April 2020 4:05 PM MYT

KUALA LUMPUR – Petugas penyiaran di Astro Awani yang menerima sumbangan juadah berbuka puasa menerusi program i-Hya Ramadhan anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan semua pihak kepada pengamal media.

Seorang wartawan penyiaran, Muhammad Harits Asyraf Hasnan, 29, berkata, sumbangan yang diterima itu memudahkannya dan rakan-rakan lain yang kadang-kadang mempunyai kekangan untuk membeli  juadah berbuka puasa ketika keluar bertugas.

“Kadang-kadang kekangan waktu keluar tugasan, tak sempat nak beli makanan. Apatah lagi sekarang tidak seperti sebelum ini ada Bazar Ramadan.

“Bantuan ini memudahkan urusan harian dan siapa (wartawan) yang ada assignment lewat malam boleh bawa bekalan ke lokasi tugasan,” katanya kepada Wilayahku hari ini.

Wartawan media sosial Astro Awani, Afiq Ariffin juga menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi sumbangan kepada media dan petugas barisan hadapan.

KAMARUZAMAN (kiri) menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa i-Hya Ramadhan YWP kepada Roslan di Wisma Bernama, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, di Wisma Bernama, sebanyak 80 pek juadah berbuka puasa turut diedarkan kepada petugas media di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Sumbangan itu disampaikan Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti YWP, Kamaruzaman Mustapha kepada Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama, Roslan Ariffin.

Roslan merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan diberikan kepada petugas media yang turut dianggap sebagai frontliners ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

“Sumbangan yang diberikan pertubuhan seperti YWP sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban petugas dalam mendapatkan juadah berbuka puasa.

“Semoga kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas