Berita

Rimau 7s sedia hadapi Sukan SEA Filipina

RIMAU 7s
PEMAIN Rimau 7s ceria selepas menjuarai kejohanan Asia Rugby Sevens Trophy di Jakarta, Indonesia petang tadi.
- Diterbit 11 Ogos 2019 2:40 PM MYT

Oleh MUHAMAD NABEEL MUHAMAD NIZAM

PUTRAJAYA – Pasukan ragbi Malaysia 7 sebelah atau lebih dikenali sebagai Rimau 7s kini dalam persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina yang bakal berlangsung hujung tahun ini.

Malaysia yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dilihat tidak menghadapi masalah untuk menjuarai kejohanan berkenaan yang turut menawarkan slot ke Asia Rugby Sevens Series selepas menang bergaya di Asia Rugby 7 Trophy 2019 yang berakhir hari ini.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Jakarta, Indonesia itu juga merupakan persiapan terbaik bagi pasukan negara malah kejayaan tersebut turut menyuntik semangat untuk pemain-pemain berusaha lebih baik di samping memperbaiki kelemahan sebelum mara ke Sukan SEA.

Terdahulu, Rimau 7s berjaya menjulang kejuaraan Asia Rugby Sevens Trophy apabila menang dengan skor 17 berbalas 14 di perlawanan akhir kategori Cup bertemu pasukan Singapura.

Walaupun ketinggalan di awal permainan, pemain Rimau 7s bangkit di separuh masa kedua dengan beberapa percubaan menarik dari Amalul Azim.

Di peringkat separuh akhir kategori Cup, Malaysia menang 26 berbalas 0 bertemu pasukan Mongolia, manakala pasukan Singapura menang tipis iaitu 14 berbalas 13 menentang pasukan Thailand.

Selain dari Malaysia, Singapura, Mongolia serta Thailand, kejohanan tersebut turut disertai pasukan dari Indonesia, Uzbeskistan, Bangladesh, Brunei, Laos, Afganistan dan Brunei.

Selepas ini, pasukan Malaysia 7s akan terus menjalani latihan dan menyertai beberapa kejohanan sebelum ke Sukan SEA 2019 di Filipina penghujung tahun ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas