Berita

Remaja teruja terima ‘hadiah’ vaksin COVID-19 pada hari jadi

AHMAD Airoul Firhan Mohd Rosdi, 18, (kiri) ditemani ibunya Siti Rohana Idris, 41, (tengah) memotong kek hari jadinya selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama yang jatuh pada hari lahirnya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kopeladar Wakaf Bharu. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 8 September 2021 9:16 AM MYT

IBARAT hadiah hari jadi bagi seorang remaja lelaki apabila secara kebetulan menerima tarikh janji temu suntikan vaksin COVID-19 pada hari kelahirannya yang ke-18, hari ini.

Ahmad Airoul Firhan Mohd Rosdi berkata dia mendaftar untuk menerima suntikan itu melalui aplikasi MySejahtera pada 11 Ogos lepas dan terkejut apabila dimaklumkan janji temu vaksinasi itu ‘jatuh’ pada hari kelahirannya.

“Sebelum mendapat tarikh vaksinasi, saya memeriksa MySejahtera setiap hari kerana tidak sabar untuk divaksin walaupun ragu-ragu memandangkan belum cukup umur 18 tahun.

“Pada minggu lepas, saya mendapat tarikh suntikan untuk dos pertama itu dan berasa sangat teruja malah menganggap ia sebagai hadiah hari jadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kopeladar dekat sini hari ini.

Ahmad Airoul Firhan dari Kampung Alor Pasir di sini hadir di PPV itu dengan ditemani ibunya Siti Rohana Idris, 41.

Bercerita lanjut, pelajar jurusan Sains di Kolej Matrikulasi Kedah itu berkata dia terpaksa ‘ponteng’ satu kelas yang dijalankan secara dalam talian untuk menghadiri janji temu itu namun sudah memaklumkan kepada pensyarahnya malam tadi.

“Keterujaan saya untuk mendapatkan suntikan vaksin ini juga sebagai persediaan sekiranya institusi pengajian tinggi dapat dibuka dalam masa terdekat yang memerlukan saya melakukan rentas negeri.

“Saya harap lebih ramai remaja seusia saya boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha  memutuskan rantaian wabak COVID-19 sekali gus dapat mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan kerajaan,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Sementara itu, Siti Rohana turut menempah 50 pek pulut kuning untuk diagihkan kepada petugas di PPV berkenaan sebagai berkongsi kegembiraan dan tanda kesyukuran pada hari istimewa Ahmad Airoul Firhan yang genap berusia 18 tahun.

Selain itu, sebiji kek serta jambangan coklat juga ditaja oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang mengenali Siti Rohana melalui rangkaian kerja.

Wakil MTRK, Aiman Yusri Mohd Yusof berkata pemberian itu sebagai kejutan dan hadiah buat Ahmad Airoul Firhan supaya dapat memberi kenangan manis kepada remaja itu yang bertuah mendapat janji temu suntikan vaksin COVID-19 pada tarikh kelahirannya. — BERNAMA

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas