Berita

Remaja kota perlukan aktiviti rekreasi (Zin Mahmud)

REMAJA menunggang basikal lajak mengundang bahaya - Gambar Hiasan
REMAJA menunggang basikal lajak mengundang bahaya - Gambar Hiasan
- Diterbit 18 Julai 2019 5:27 PM MYT

Pada 14 Julai lalu tertular dalam Facebook mengenai sekumpulan kanak-kanak yang melakukan aksi rempit dengan menggunakan basikal lajak mereka di laluan baharu berhubung Kerinchi Link. Ia menarik perhatian warganet kerana tindakan mereka yang berbahaya dan mengancam nyawa itu.

Video itu dirakam oleh seorang penumpang kereta yang melalui laluan baharu dibuka itu. Dari tingkap kereta itu kelihatan enam orang kanak-kanak sedang menunggang basikal berlegar-legar di depan kenderaan itu. Mereka menghalang laluan kereta itu.

Mereka juga melakukan lagak ngeri gaya Superman. Mereka seronok kerana jalan itu landai menurun sekali gus meningkatkan kelajuan basikal yang ditunggang.

Reaksi spontan para warganet adalah kemarahan kerana kanak-kanak itu mempertaruhkan nyawa ketika mana sebarang kereta yang dipandu laju boleh merempuh mereka.

Adalah dapat dibayangkan bahawa kanak-kanak apabila menjadi remaja kelak akan muncul sebagai mat-mat rempit yang melakukan lagak ngeri mereka di lebuh-lebuh raya berhampiran rumah masing-masing.

Sememangnya jelas, merempit de­ngan motosikal dan basikal dilarang di lebuh raya kerana ia terang-terang membahayakan bukan saja pada pelakunya malah juga pengguna-pengguna jalan raya lain.

Ada warganet yang menyangkut (tag) video itu pada pihak polis, tentunya dengan harapan pihak berkuasa membuat pemantauan dan menangkap kanak-kanak itu.

Ada pula yang begitu marah dan menyatakan bahawa kanak-kanak ini wajar dirotan supaya tidak mengulangi perbuatan itu. Tidak kurang pula yang menyatakan bahawa jika berlaku kemalangan, jangan pula salahkan pelanggarnya.

Banyak juga yang menyalahkan ibu bapa kerana tidak menjaga dan mendidik kanak-kanak itu. Tetapi ada juga komen yang mengambil sikap tidak mahu menyalahkan kanak-kanak itu, sebaliknya mengutarakan soal bandar raya yang patut mesra penduduk khususnya pada kanak-kanak dan remaja.

Adalah diandaikan bahawa kanak-kanak itu adalah dari penempatan berhampiran, iaitu dari sekitar Kampung Kerinchi dan Kampung Abdullah Hukum.

Riadah

Maka isu yang ditimbulkan ialah ketiadaan atau kekurangan tempat untuk mereka bermain dan beriadah. Tetapi soalnya bukan saja tempat tetapi juga program rekreasi dan riadah yang disediakan.

Gejala merempit pula bukan saja berlaku di Wilayah Persekutuan malah juga di seluruh negara. Sudah berdekad-dekad adalah diketahui bahawa remaja merempit ini berlaku di bandar-bandar besar dan kecil, lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai jalan dan lebuh raya yang baik.

Mereka yang terlibat adalah dari pelbagai peringkat umur, dari remaja sekolah hinggalah belia dan dewasa muda yang baru bekerja. Antaranya berasal dari kampung tetapi apabila berhijrah ke Kuala Lumpur kerana bekerja, mereka meneruskan kegiatan berbahaya itu.

Pada sekitar tahun 2010-an, penulis sering bertembung dengan kumpulan-kumpulan rempit ini pada Sabtu malam ketika pulang dari pejabat selepas tengah malam. Mereka yang begitu ramai itu gemar menggunakan Jalan Tun Razak, MRR2 dan lebuh raya DUKE.

Kegiatan merempit ini menggunakan motosikal. Tetapi banyak daripada me­reka sudah mula berlagak rempit ketika kanak-kanak dengan menggunakan basikal. Ada antara mereka pula, meneruskan kegiatan mereka dengan berlumba kereta selepas mampu memilikinya. Sering kali kereta yang digunakan ialah jenis Perodua Myvi.

Golongan yang menggunakan motosikal sememangnya ramai di Wilayah Persekutuan. Penggunaan motosikal untuk pergi ke tempat kerja adalah suatu yang lumrah. Namun pekerjaan yang menghendaki penggunaan motosikal juga banyak. Bermula dari penghantar surat seperti posmen dan kurier hinggalah sekarang muncul perkhidmatan penghantaran makanan melalui sistem e-hailing.

Sudah berdekad-dekad lamanya pihak berkuasa termasuk polis melalui pelbagai program telah melakukan usaha membanteras gejala rempit ini. Malah terdapat program yang mana polis pergi ke sekolah-sekolah untuk mengingatkan bahaya kegiatan itu.

Tetapi merempit sudah menjadi budaya negatif kota. Ia bukan saja untuk berlumba malah telah berkembang menjadi isu sosial hubungan lelaki dan perempuan serta membabitkan penggunaan dadah. Gambaran budaya ini ada dipaparkan melalui drama dan filem-filem yang turut mendapat sambutan ramai.

Mungkin budaya negatif ini tidak boleh dibanteras. Semua kota raya mempunyai gejala negatif dari masalah sosial masing-masing. Tetapi sekurang-kurangnya ia wajar boleh dikurangkan.

Selain kempen penguatkuasaan, tindakan yang lebih menyeluruh tetapi tidak secara langsung ialah budaya mesra kanak-kanak dan remaja melalui kegiatan seni dan sukan.

Di penempatan-penempatan kediaman terutamanya di kawasan padat, kemudahan dan program bagi kegiatan seni dan sukan wajar mencukupi.

Dalam masyarakat terdapat komponen-komponen kegiatan kehidupan yang mesra warga. Antaranya adalah agama dan pendidikan.

Setiap komuniti ada rumah ibadatnya. Di kalangan komuniti Islam tentulah ada masjid dan suraunya. Tetapi sesuatu komuniti juga memerlukan kemudahan dan program kebudayaan dan sukan. Kegiatan ini pula diadakan balai raya atau pusat komuniti serta gelanggang permainan. Jika kemudahan ini tidak mencukupi, pasti kanak-kanak dan remaja berasa tertekan dan mencari alternatif lain.

Tetapi sekadar kemudahan dan fasiliti ini tidak mencukupi. Ia perlu ada program dan pengurusannya. Perkara ini pula memerlukan persatuan-persatuan kebudayaan dan kelab sukan.

Sememangnya di sekolah ada program pelbagai kokurikulum. Tetapi di luar sekolah, iaitu waktu cuti dan lebih-lebih lagi selepas mereka tamat persekolahan, terdapat kurang ruang untuk mereka aktif dalam kebudayaan dan sukan.

Bagi mereka yang sudah berumahtangga, tentunya perhatian golongan ini adalah pada membesarkan anak. Di bandar-bandar Malaysia, kegemaran masa lapang mereka pula adalah mengunjungi kompleks membeli-belah. Itupun ia berupa tumpuan pada kafe atau tempat makanan kerana membeli-belah kini sedang berhijrah ke atas talian.

Tetapi anak-anak yang membesar itu perlukan pendedahan kegiatan fizikal yang sihat. Bukan semata-mata bermain di ruang permainan kanak-kanak di kompleks membeli-belah atau pusat permainan air yang hanya mampu dikunjungi oleh mereka berkemampuan.

Maka peranan persatuan-persatuan kesenian dan sukan adalah perlu terutama di penempatan-penempatan yang padat. Apabila banyak kanak-kanak, remaja dan belia dapat mengekspresi dirinya dalam kegiatan kesenian dan sukan, maka berkemungkinan akan berkuranganlah kegiatan yang berbahaya bukan saja merempit tetapi juga gejala negatif.

Tetapi keadaan ini sememangnya akan sukar untuk dicapai tanpa kerja­sama atau sambutan baik daripada ma­syarakat.

Kemudahan seperti fasiliti dan infrastruktur akan tinggal kosong tanpa digunakan jika tiada program dan minat. Akhirnya apa yang perlu diubah adalah minda warga kota.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas