Berita

Remaja bawah umur antara 20 ditahan

PENGUNJUNG sebuah pusat hiburan diperiksa dalam Ops Bersepadu Tindakan Khas baru-baru ini.
PENGUNJUNG sebuah pusat hiburan diperiksa dalam Ops Bersepadu Tindakan Khas baru-baru ini.
- Diterbit 2 Ogos 2019 4:30 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Akibat ingin merasai pe­ngalaman berada di pusat hiburan, dua remaja bawah umur ditahan dalam Op Bersepadu Tindakan Khas di sebuah premis hiburan di Jalan Kia Peng di sini baru-baru ini.
Mereka antara 20 individu yang ditahan selepas disyaki positif dadah jenis syabu serta tetra hydrocannabinol (THC).

Operasi yang bermula pada pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Kuala Lumpur, Mohamad Hanif Omar berkata, dalam operasi itu, seramai 60 orang ditahan ketika sedang asyik ber­goyang.

“Selepas kita menjalankan ujian saringan air kencing, 20 daripada mereka yang di­tahan­ didapati positif dadah.
“Mereka terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 50 tahun,” katanya.

Menurut Mohamad Hanif, tindakan lanjut ke atas premis dilakukan oleh DBKL yang mengarahkan premis ber­kenaan ditutup serta merta.

Jelas beliau, tindakan tersebut dilakukan selepas mendapati premis yang mempunyai lesen itu telah melanggar syarat-syarat yang dilesenkan di bawah Sek­syen 17 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.30 pagi dan kesemua tangkapan dibawa ke ibu pejabat AADK Wilayah Persekutuan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas