Biz

Reka bentuk ‘Fresh Forward’ akan datang di Subway

- Diterbit 21 Mei 2022 8:00 AM MYT

RANGKAIAN makanan segera Subway memeterai perjanjian francais induk baharu dengan Pegacorn Sdn Bhd untuk memperluas operasi jenama itu di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Subway, John Chidsey berkata di bawah perjanjian ini sebanyak 500 lokasi Subway baharu akan dibuka di seluruh Semenanjung dalam tempoh 10 tahun akan datang sekali gus menggandakan jumlah restorannya di pasaran.

“Pasaran Asia Pasifik dan Asia Tenggara terus menjadi peluang besar buat Subway dan bahagian penting dalam strategi pertumbuhan antarabangsa kami.

“Pelanggan boleh menjangkakan untuk melihat peningkatan lokasi bukan tradisional Subway di seluruh Malaysia seperti lapangan terbang, hospital, stesen minyak dan kedai serbaneka,” katanya.

Tambahnya, restoran sedia ada dan baharu akan menampilkan reka bentuk moden ‘Fresh Forward’ dan meningkatkan kemudahan untuk pengguna dengan pilihan pandu lalu serta Grab & Go baharu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pegacorn, Kin Siong Kon berkata pihaknya gembira dengan peluang untuk menerajui pertumbuhan Subway di Semenanjung Malaysia serta meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai jenama itu.

Perjanjian ini merupakan kerjasama ketiga Subway di Asia Tenggara susulan perjanjian francais induk baru-baru ini di Indonesia dan Thailand yang akan meningkatkan jumlah komitmen restoran pada masa depan dengan ketara di rantau ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas