Artikel

Realiti hidup di Kuala Lumpur

PESONA bandaraya Kuala Lumpur menggamit kehadiran masyarakat dari setiap pelosok negeri untuk menempa rezeki dan membina kerjaya.
- Diterbit 7 Januari 2022 4:24 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN
Wartawan Bebas

KUALA Lumpur hari ini adalah Singapura pada tahun 1940 yang menjadi impian hampir setiap anak muda Malaya.

Singapura adalah tabir mimpi-mimpi indah sebuah kota yang tidak ada di mana-mana melainkan di pulau itu. Lubuk rezeki, kerjaya sekali gus hiburan semuanya ada di Singapura.

Malah seolah-olah kehidupan ini hanya teruji apabila seseorang itu berjaya menakluki Singapura.

Demikianlah hebatnya gambaran Singapura dalam mimpi anak muda Malaya. Apa lagi filem terbitan kapitalis Hong Kong di Singapura menjadi menu sosial anak muda era sebelum dan selepas merdeka.

Tetapi di sebalik kemilau itu, banyak yang terpaksa bekerja membanting tulang siang dan malam untuk hidup. Mimpi-mimpi indah tatkala melihatnya dari jauh terbang entah di mana. Hakikat kehidupan adalah ketika kita berada di dalamnya, bukan melihat dari tabir jendela.

Ketika menjengah remaja dekad 1970-an dan 1980-an di kampung di Perlis, Kuala Lumpur juga antara yang melintas dalam mimpi indah saya. Malah itu juga menjadi impian sebahagian besar dalam kalangan kawan-kawan.

Semua bercita-cita mencari kerja di Kuala Lumpur – paling tidak menjadi buruh binaan dengan gaji yang lumayan.

Kuala Lumpur sangat memukau alam dan cita-cita remaja kami. Seolah-olah itulah kehidupan yang diimpikan oleh semua orang.

Selepas meninggalkan alam persekolahan akhir 1970-an, banyak kawan merantau ke Kuala Lumpur. Mereka bekerja di kilang-kilang dan menjadi buruh binaan di tapak pembinaan.

Cerita-cerita mengenai gaji buruh kontrak yang lumayan membuatkan saya terlopong.

Kemudian membina impian seperti mereka – bekerja di Kuala Lumpur untuk mengumpul duit. Waktu itu saya hanya mengikuti gemerlapan Kuala Lumpur daripada paparan dalam filem Melayu. Sungguh indah.

Pesona yang digambarkan memang sangat memagut rasa untuk turut berada dan bekerja di Kuala Lumpur.

Walaupun ketika dekad 1970-an, Kuala Lumpur sangat ‘mundur’ berbanding sekarang, tetapi sudah dianggap seperti New York dalam impian anakanak muda termasuk saya.

Tetapi hakikatnya tidak semua gambaran yang indah itu boleh dinikmati oleh semua orang.

Cahaya gemerlapan itu sebenarnya terlalu jauh dan sukar untuk digapai dengan tangan. Memang gemerlapan Kuala Lumpur sangat memukau, tetapi tidak semua dapat memiliki sekali gus berada di dalamnya.

Kuala Lumpur mempunyai sisi yang pelbagai. Bukan seperti sekeping poskad yang selalu diterima daripada kawan-kawan yang bekerja di kota raya ini.

Tidak semuanya penuh dengan keindahan. Malah banyak cerita yang indah tidak lebih sekadar cahaya lampu yang memukau kelekatu.

Sisi pahitnya bahawa Kuala Lumpur adalah perjuangan hidup yang amat mencabar dan penuh jeram-jeram berbatu.

Malah tanpa iltizam banyak juga yang kecundang di tengah jalan. Banyak yang hilang peta peribadi untuk pulang ke pangkal diri.

Kuala Lumpur itu ibarat lautan – yang malas atau tidak mampu menggerak kaki dan tangan akan tenggelam. Inilah perjuangan hidup yang tidak pernah ada penamatnya.

Siapa lambat akan tertinggal dan terus ketinggalan kerana tidak ada siapa yang peduli akan kehidupan orang lain.

Pada dekad 1980-an ketika saya menjejak kaki ke Kuala Lumpur, banyak kawan yang sebaya dalam lingkungan usia 20-an adalah pendatang dari kampung dan pedalaman.

Mereka bukan dari Lembah Kelang, tetapi di negeri-negeri yang jauh daripada tempias Kuala Lumpur.

Misalnya Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah. Malah sebahagian besar kawan-kawan baharu yang saya temui adalah perantau.

Sangat sedikit anak kelahiran Kuala Lumpur yakni anak kelahiran Kampung Baru atau gelembung elit Melayu di Damansara dan Bangsar.

Kini selepas empat dekad, perantau yang kemudian menjadi penghuni tetap Kuala Lumpur dan terus berkampung di sini, jumlah anak jati Kuala Lumpur bertambah dengan mendadak.

Sekarang mereka yang berusia lingkungan 30-an sebahagian besar anak kelahiran Kuala Lumpur – termasuk tiga anak saya.

Antara pemangkin penghijrahan perantau ke Kuala Lumpur empat dekad lalu adalah mahu mencari kehidupan baharu.

Walaupun banyak tanah terbiar di kampung, banyak juga yang melihat Kuala Lumpur sebagai lubuk rezeki. Banyak kilang yang membuka peluang pekerjaan yang tidak ada di kampung-kampung.

Bagaimanapun hakikatnya hidup di Kuala Lumpur tidak seindah biasan mimpi yang melintas di garis masa sebelum berada di kota ini.

Apabila menjejak kaki ke kota paling metropolitan ini, barulah kita mengenali wajah dan pekertinya yang sebenar.

Keakuan menggantikan kebersatuan yang menjadi teras dalam hidup di kampung.

Banyak yang terdorong menjadi individualistik kemudian materialistik. Dalam perlumbaan hidup yang sangat sengit, tidak ada masa lagi untuk mengambil tahu hal orang lain.

Biarkan mereka selesaikan masalah sendiri. Secara tanpa sedar juga membentuk diri menjadikan ringgit dan sen sebagai matlamat hidup.

Di sebalik bangunan tinggi yang puncaknya mencakar awan, di celah-celah lorong dan kaki-kaki bangunan banyak yang kais pagi makan pagi.

Banyak yang bertaraf miskin bandar. Tuntutan Kuala Lumpur bukan kecil. Sesuai dengan taraf kotanya, penghuni juga mesti menerima hakikat bahawa hidup adalah bekerja.

Penghuni Kuala Lumpur membuat berbagai-bagai pekerjaan yang boleh mendatangkan duit untuk menyara keluarga.

Malah ada yang membuat beberapa kerja dalam satu masa. Semua ini dilakukan bukan dengan suka-suka tetapi terpaksa kerana nilai duit menjadi semakin kecil di sebalik tuntutan yang semakin besar.

Walaupun begitu Kuala Lumpur terus menjadi tumpuan dari seluruh negara.

Kuala Lumpur terus menjadi lubuk rezeki walaupun pada masa yang sama tuntutan hidup lebih besar berbanding pendapatan.

Kuala Lumpur tidak pernah ditinggalkan kerana sifatnya yang sangat materialistik. Semua perkara tidak boleh dilakukan tanpa duit. Tetapi tidak semua pekerjaan memberikan duit yang setimpal dengan tuntutan hidup.

Pembinaan rumah kos sederhana terus mendapat sambutan. Tidak ada yang tidak terjual, kecuali rumah kos mewah.

Maknanya pendatang dari luar Kuala Lumpur terus menaruh harapan masa depan. Walaupun ketika ini sangat perit, tetapi percaya keadaan itu menjadi sebaliknya. Begitulah harapan mereka.

Nampaknya kisah-kisah pahit tentang kehidupan di Kuala Lumpur tidak menjejaskan impian yang lain menjadikan kota raya ini sebagai lubuk rezeki.

Manusia mempunyai jawapan sekali gus kewajaran yang tersendiri dalam setiap pilihannya. Sama seperti memilih menjadikan Kuala Lumpur sebagai tempat perjudikan nasib.

Susah dan senang, kaya dan miskin, hitam dan putih adalah warna Kuala Lumpur.

Di sebalik jerih dan perih marhaen tercungap seperti ikan kelemasan, kapitalis tidak peduli asalkan untung. Roda kehidupan di Kuala Lumpur terus bergulir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas