Berita

Razlan puas hati dengan prestasi pelumba Yamaha SRT pada GP Catalunya

DATUK RAZLAN RAZALI
- Diterbit 28 September 2020 2:43 AM MYT

PRINSIPAL Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali berpuas hati dengan keputusan keseluruhan yang dicapai oleh para pelumba dalam kelas Moto Grand Prix (MotoGP) pada GP Catalunya di litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol semalam.

Walaupun pelumba pasukan gagal meraih kedudukan podium pada kelas Moto2 dan Moto3, Razlan berkata kemenangan ketiga Fabio Quartararo dalam MotoGP musim ini telah menyuntik semangat positif kepada pasukan.

Sebelum ini, Quartararo memperoleh kemenangan berturut-turut pada GP Sepanyol dan GP Andalusia di litar Jerez.

“Ia bagus untuk kejuaraan, buat Fabio dan Franco Morbidelli, terutama untuk Fabio yang kembali memimpin kejuaraan (dengan 108 mata) menjelang GP di (litar) Le Mans,” katanya dipetik dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web pasukan; sepangracingteam.com.

Pelumba Perancis berusia 21 tahun itu yang memulakan perlumbaan di petak hadapan, memaparkan prestasi cemerlang dengan mengekori rakan sepasukannya, Morbidelli sehingga pusingan kelapan, sebelum memintas dan memenangi perlumbaan ketiganya musim ini dengan catatan masa 40 minit 33.176 saat dalam perlumbaan 24 pusingan itu.

Razlan turut yakin bahawa pelumba Moto2 Petronas Sprinta Racing – Xavi Vierge dari Sepanyol dan Jake Dixon dari Great Britain akan bangkit semula pada GP Perancis awal bulan depan selepas mengalami kemalangan di GP Catalunya.

Vierge terbabit dalam kemalangan selepas terjatuh di selekoh kesembilan ketika perlumbaan berbaki 15 pusingan, manakala Dixon gagal menamatkan perlumbaan selepas motosikalnya mengalami masalah teknikal.

Razlan juga percaya pelumba Moto3, John McPhee dari Scotland, masih mempunyai peluang cerah untuk meraih gelaran Kejuaraan Dunia Moto3 walaupun terlibat dalam kemalangan dengan pelumba Sepanyol, Albert Arenas daripada pasukan Gaviota Aspar Team Moto3 di selekoh keempat pada awal perlumbaan.

“Beliau masih tempat ketiga dalam kejuaraan (dengan 98 mata), tetapi masih ada enam perlumbaan yang perlu diselesaikan dan apa sahaja boleh terjadi. Peluang untuk menang kejuaraan masih ada.

“Malangnya, (rakan sepasukan) KIP (Khairul Idham Pawi) belum menunjukkan bakat sebenarnya, dan kami tidak pasti mengapa beliau tidak mencapai potensi sebenar beliau. Sebagai satu pasukan, kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan prestasi beliau bertambah baik pada perlumbaan seterusnya,” katanya.

Kejuaraan Dunia MotoGP akan diteruskan dengan GP Perancis di litar Le Mans pada 9 hingga 11 Okt.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas