Berita

Rasulullah model usahawan terbaik

UMAT Islam digalakkan berniaga dengan
- Diterbit 18 Oktober 2019 5:21 AM MYT

PENGALAMAN Rasulullah SAW sebagai seorang pedagang datang daripada keluarganya sendiri yang merupakan pedagang. Bapanya Abdullah dan bapa saudaranya, Abu Talib merupakan pedagang. Semasa Abdullah berdagang ke Syam, Aminah, ibunya sedang hamil mengandungkan baginda.

Abdullah menetap di Syam selama beberapa bulan dan beliau juga pernah ke Gaza serta kembali lagi. Kemudian beliau singgah ke tempat saudara-mara ibunya di Madinah untuk beristirehat kerana merasa lelah disebabkan lama dalam perjalanan. Ketika beliau ingin kembali, Abdullah menderita sakit di tempat saudara-mara ibunya itu.

Akhirnya, kawan-kawannya pulang terlebih dahulu meninggalkan Abdullah di situ. Kawannya memberitahu ayahnya, Abdul Mutalib tentang penderitaan Abdullah. Akhirnya, ayahanda Rasulullah SAW wafat ketika Rasulullah belum dilahirkan lagi.

Pengalaman perniagaan Rasulullah SAW bersama bapa saudaranya Abu Talib ke Syria merupakan pengalaman pertama bagi Rasulullah SAW semasa baginda berumur 12 tahun. Namun, Rasulullah SAW pintar mengambil kesempatan dan cerdas memanfaatkan peluang.

Rasulullah SAW bekerja dengan cergas dan bukan bekerja dengan keras. Dalam perjalanan pertamanya ke Syam, baginda sudah mengenal susur galur perdagangan melalui padang pasir, pasar-pasar yang dijadikan tempat berniaga bahkan mengetahui di mana tempat murah untuk membeli barang dagangan dan tempat yang baik untuk menjual barang dagangan.

Dengan kejujurannya, ternyata Rasulullah SAW benar-benar mampu memperdagangkan barang-barang Saiditina Khadijah dengan keuntungan yang lebih banyak berbandinhg orang lain.

Sebelum itu Rasulullah telah membawa barang dagangan Saiditina Khadijah dan telah berjaya mengaut keuntungan. Rasulullah SAW telah menjalankan kerjasama dengan Saiditina Khadijah semasa Baginda berusia 25 tahun dengan membawa barang dagangan ke Syam.

Sifat peribadi Rasulullah SAW sebagai usahawan ialah Baginda tidak pernah mengatakan sesuatu yang tidak benar. Beliau selalu memberitahu barang mana yang bagus dan mana yang tidak serta mana barang yang memiliki kualiti terbaik dan mana yang tidak. Ini merupakan perilaku yang perlu dicontohi dalam kehidupan terutama perniagaan. Penduduk Mekah sendiri memanggilnya dengan sebutan al-Amin (jujur).

“Baginda juga melatih usahawan di mana seorang lelaki daripada kaum Ansar telah dilatih menjual. Hasil jualan tersebut telah menampung makan minum keluarganya dan membeli sebilah kapak. Dengan kapak tersebut, lelaki itu dapat mencari kayu dan menjualnya dengan keuntungan yang berlipat ganda.”

Satu contoh ialah di pasar Madinah di mana baginda memeriksa longgokan buah-buahan. Baginda telah memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut dan mendapati jari-jarinya basah. “Apa ini saudara? tanya baginda. Terkena hujan, tuan, kata peniaga. Mengapa saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu di sebelah atas supaya orang dapat melihatnya? Baginda berkata lagi, “Barang siapa menipu, dia bukan pengikut saya.” (HR Muslim)

Baginda juga tidak pernah bertengkar dengan pelanggan. “Mari mari, selamat datang saudara saya dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar. Kata Saib bin Ali Saib: Kita tidak pernah bertengkar kerana tuan seorang peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan” (HR Ahmad)

Baginda juga tidak bersumpah palsu. Perkara ini boleh dilihat dalam hadis Riwayat Muslim. “Penjual dan pembeli memiliki hak memilih (khiyar) selama sebelum berpisah. Apabila mereka jujur dan mahu menerangkan (keadaan barang), mereka akan mendapat berkat dalam jual-beli mereka. Dan jika mereka berbohong dan menutupi (cacat barang) akan dihapuskan keberkatan jual beli mereka.” (HR Muslim)

Baginda suka tersenyum dan bersikap lemah lembut kepada pelanggannya. Baginda bersabda: “Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Untung

Baginda juga pernah menjual barang dagangannya di pasar-pasar Busra dan memperoleh keuntungan dua kali ganda berbanding pedagang lain. Rasulullah SAW datang ke pasar tersebut bersama Maisarah dan membeli bahan pakaian untuk dibawa ke Mekah dan Rasulullah SAW memperoleh banyak keuntungan (Abdurachman, 2008).

Lantas, Saiditina Khadijah tertarik dengan budi pekerti Rasulullah SAW. Pada usia 25 tahun, baginda telah berkahwin dengan Khadijah dengan hadiah sebanyak 20 ekor unta dan 12 auns emas sebagai mahar (nilai sekarang bersamaan dengan ratusan juta) (Abdurachman, 2008).

Setelah menikah dengan Khadijah, Rasulullah SAW melakukan perdagangannya seperti biasa dan baginda bertindak sebagai pengurus sekali gus rakan kongsi dalam perniagaan isterinya. Sejak perkahwinannya sehingga datangnya panggilan tugas kenabian (pada usia 40 tahun), Rasulullah SAW telah melakukan perjalanan dagang ke pelbagai daerah di Semenanjung Arab dan negeri-negeri perbatasan Yaman, Bahrain, Iraq dan Syria (Abdurachman, 2008).

Baginda juga melatih usahawan di mana seorang lelaki daripada kaum Ansar telah dilatih menjual. Hasil jualan tersebut telah menampung makan minum keluarganya dan membeli sebilah kapak. Dengan kapak tersebut, lelaki itu dapat mencari kayu dan menjualnya dengan keuntungan yang berlipat ganda (Abu Mazaya, 2012).

Justeru dengan hasil dari pemasaran perniagaan, seseorang tidak perlu meminta-minta daripada orang lain untuk memenuhi keperluan asasnya. Dari Abdullah bin Umar RA dia berkata Rasulullah bersabda, “Tidakkah seseorang yang salah meminta-minta kecuali dia akan ketemu dengan Allah dengan muka yang tak berdaging” (HR Muslim)

Prof. Madya Dr. Ilhaamie Abdul Ghani Azmi merupakan pensyarah Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas