Berita

Rasuah: Isa Samad dihukum penjara berjumlah 54 tahun, denda RM15.45 juta

Tan Sri Mohd Isa B Hj. Abdul Samad corruption trial decision arrival at Duta Court (3 feb 2021) KAMARUL ARIFFIN/The Star
- Diterbit 3 Februari 2021 7:56 AM MYT

MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas mendapati dia bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Mohd Isa, 71, hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun setelah Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Mohd Nazlan ketika membuat keputusan itu berkata hukuman dijatuhkan adalah bagi memberi peluang kepada pesalah melakukan pemulihan dan juga pengajaran untuk tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

“Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai menteri besar selama dua dekad dan juga sebagai menteri kabinet.

“Kesalahan berkaitan rasuah adalah serius  yang mengugat ekonomi negara dan merupakan barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.

“Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

“Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan,” kata hakim itu.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan Mohd Isa untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga pelupusan kes di Mahkamah Rayuan.

Hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa Mohd Isa berjaya mewujudkan keadaan istimewa bagi mahkamah membenarkan permohonan itu.

“Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta iaitu tertuduh perlu membayar RM700,000 sehingga pukul 2.00 petang esok.

“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga rayuan selesai,” kata hakim itu.

Terdahulu peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata sekiranya pelaksanaan hukuman itu berkuatkuasa hari ini anak guamnya akan ditahan di penjara sementara rayuan.

“Oleh itu rayuan anak guam saya akan jadi sia-sia (sekiranya rayuan dibenarkan),” katanya.

Berhubung denda pula, peguam itu berkata  jumlah yang perlu dibayar adalah besar dan denda itu walaupun tidak sebanyak dalam kes berkaitan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (denda RM210 juta) tetapi ia masih lagi satu jumlah yang besar.

“Sekiranya mahkamah ingin menaikkan jumlah jaminan diharap ia tidak melebihi RM1 juta kerana anak guam saya perlu meminta bantuan kawan-kawan dan saudara mara.

“Selain itu kami juga memohon jumlah jaminan yang baharu  itu dibayar secara ansuran,” katanya

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata tertuduh tidak menunjukkan keadaan istimewa untuk penangguhan hukuman.

“Mohon permohonan penangguhan hukuman ditolak dan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ni,” katanya.

Terdahulu semasa rayuan bagi mengurangkan hukuman Salehuddin memohon hukuman penjara ke atas anak guamnya berjalan serentak dan bukan berasingan.

Menurutnya Mohd Isa telah berkecimpung dalam arena politik sejak 33 tahun dan berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari tahun 1982 hingga 2004 iaitu selama 22 tahun.

“Di peringkat Persekutuan pula, beliau pernah dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan selama dua tahun dari tahun 2004 hingga 2005. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen Jempol pada 2004 hingga 2008 dan 2013 hingga 2018,” katanya.

Salehuddin berkata Mohd Isa juga menghidap penyakit jantung, pernah menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2018 dan kini bergantung kepada ubat selain perlu mendapatkan rawatan dua bulan sekali di institut jantung berkenaan.

“Tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ini merupakan kesalahan pertamanya. Dia juga tidak pernah meminta wang suapan (RM3 juta) daripada SP16, Ikhwan Zaidel (bekas ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB),” katanya.

Peguam itu berhujah amaun yang terlibat dalam kes ini hanya RM3.09 juta berbeza dengan kes SRC International yang dihadapi Najib  sebanyak RM42 juta.

“Dalam kes SRC, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun bagi pertuduhan dihadapi Najib dan denda RM210 juta, jika gagal bayar denda dipenjara 12 tahun.

“Saya merayu mahkamah mengambil kira jumlah yang terlibat dalam kes dihadapi anak guam saya,” kata peguam itu.

Afzainizam pula memohon hukuman penjara 12 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda sebanyak RM15.45 juta sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM.

“Tertuduh tidak menunjukkan kekesalannya seperti memulangkan wang itu kepada Felda. Dalam kes ini, amaun RM3.09 juta adalah fakta di mana kesalahan rasuah adalah penyakit atau barah dalam masyarakat.

“Hukuman yang bakal diberikan perlu menggambarkan betapa bencinya masyarakat terhadap kesalahan rasuah. Tidak dinafikan tertuduh mempunyai banyak sumbangan politik dan masyarakat, namun suapan itu sebanyak sembilan kali dan mahkamah perlu mengambil kira jumlah rasuah yang terlibat,” katanya.

Salehuddin kemudiannya bangun dan berhujah bahawa bagaimana tertuduh ingin menunjukkan rasa kesal sedangkan dia menafikan terlibat dalam kesalahan itu.

“Sekiranya tertuduh menunjukkan rasa kesal dikhuatiri menjejaskan rayuannya di dua lagi peringkat mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Persekutuan).

“Kalau anak guam saya menunjukkan rasa kesal atau cakap dia menyesal, ia secara tidak langsung menunjukkan dia mengaku atas perbuatan itu,” katanya yang turut berhujah dengan usia tertuduh sekarang, hukuman penjara sebulan pun boleh meranapkan kehidupannya.

Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas