Berita

Rasai pengalaman hebat berbasikal sejauh 300 km di Wilayah Putrajaya

ORANG awam yang melakukan aktiviti berbasikal di Putrajaya boleh berhenti berehat dan bergambar di photo frame @ Menara Seri Wilayah.
- Diterbit 11 Mac 2022 7:49 AM MYT

PUTRAJAYA Cycling Route (PCR) merupakan salah satu inisiatif PPj di bawah Blueprint Cycling Putrajaya dalam menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Sukan dan Rekreasi.

Penyediaannya meletakkan Putrajaya setanding dengan bandar raya lain yang terkenal di dunia seperti Melbourne, Korea, Amsterdam dan Taipei. Ia diserikan dengan pit stop di Anjung Floria yang merupakan kawasan strategik yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai tempat persinggahan atau pit stop kepada pengunjung.

Dibangunkan Perbadanan Putrajaya (PPj), penyediaannya juga turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Belia dan Sukan, Alam Flora Sdn Bhd dan agensi antarabangsa iaitu United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF).

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang PCR, ikuti temu bual Wilayahku bersama Pengarah Rekreasi dan Operasi Jabatan Landskap dan Taman, L.Ar Asmah Yahaya.

L.Ar Asmah Yahaya.

WILAYAHKU: Apakah objektif utama projek PCR ini?

ASMAH: Antara objektif utama PCR adalah bagi menyediakan peta laluan basikal sebagai panduan kepada penunggang dan penggemar sukan berbasikal terutama pelancong dari dalam dan luar negara. Penunggang basikal boleh merancang dan membuat pilihan berkaitan laluan yang bersesuaian bagi menjalankan aktiviti berbasikal yang begitu popular di bandar raya ini.

WILAYAHKU: Berapa banyak laluan yang digunakan untuk PCR?

ASMAH: Inisiatif di bawah Blueprint Cycling Putrajaya ini mempunyai 10 laluan berbasikal dengan jumlah jarak keseluruhan 300 kilometer (km). Pit stop di Anjung Floria, Presint 4 akan menjadi pit stop utama (0.0 km) untuk permulaan dan penamat bagi setiap pilihan laluan penunggang basikal. Pelancaran Fasa 1 ini melibatkan lapan laluan terlebih dahulu dengan jarak 180 km manakala beberapa laluan lagi sedang diperkemaskan dari aspek kesesuaian dan keselamatan pengguna dengan agensi-agensi lain yang terlibat. Di samping itu, PPj turut menyediakan enam pit stop di sepanjang PCR.

WILAYAHKU: Boleh kongsikan lapan jenis laluan yang terdapat di PCR?

ASMAH: Laluan 1 yang dinamakan Persisiran dengan jarak 10.65 km akan melalui sepanjang persisiran Tasik Putrajaya (Core Island). Laluan ini sesuai untuk keluarga dari pelbagai peringkat umur dengan menawarkan panorama Tasik Putrajaya yang begitu mempersona. Penunggang basikal juga akan berpeluang menyaksikan keindahan dan seni bina jambatan yang berbeza sepanjang laluan.

Laluan ke 2 yang dinamakan Bougainvillea melibatkan jarak sejauh 14.04 km. Laluan ini melalui kawasan promenade dan beberapa laluan di tepi jalan utama dan kompleks kerajaan di Putrajaya. Pelbagai spesis bougainvillea menominasi hiasan landskap di sepanjang laluan. Laluan ini boleh dilalui oleh semua jenis basikal dan sesuai untuk pelbagai peringkat usia.

Laluan 3 yang dinamakan Patriot adalah simbolik kepada nama- nama jalan yang dilalui iaitu Jalan Tuanku Abdul Rahman, Persiaran Perdana dan Pusara Negara yang melibatkan jarak sejauh 17.21 km. Laluan ini sesuai kepada pelbagai peringkat umur dan boleh dilalui oleh semua jenis basikal.

Laluan 4 yang dinamakan Laluan Botani membolehkan penunggang basikal menuju dan mengunjungi Taman Botani yang merupakan salah satu taman yang popular di Putrajaya dan dikenali sebagai Mother Of All Garden. Panjang laluan ini adalah sejauh 22 km.

Laluan ke 5 dinamakan Laluan Empangan yang berjarak 30 km. Penunggang yang memilih laluan ini akan berpeluang melihat keindahan tasik dari sudut pemandangan dan keindahan yang berbeza termasuk kawasan tadahan air bagi Tasik Putrajaya.

Laluan ke 6 dinamakan Laluan Hujan-Hujan. Laluan ini yang berjarak 22 km akan melalui kawasan kejiranan yang landskapnya banyak ditanami dengan pokok hujan hujan yang sekarang membesar rimbun, memberi teduhan dan pemandangan yang unik.

Laluan ke 7 dinamakan sebagai Wetland kerana laluan ini menuju ke Taman Wetland yang merupakan wetland binaan air tawar terbesar di kawasan Tropika dan kaya dengan habitat flora dan fauna. Penunggang yang memilih laluan ini akan berpeluang menikmati keindahan tersebut dengan lebih dekat. Laluan ini hanya sesuai untuk basikal jenis mountain bike dan berjarak 28.30 km.

Laluan ke 8 yang dinamakan Laluan Damar dengan jarak 35.80 km merupakan antara laluan yang paling mencabar dalam PCR. Laluan ini menuju ke Taman Rimba Alam yang menempatkan kepelbagaian spesies hutan hujan tropika di Putrajaya. Laluan ini hanya sesuai untuk basikal jenis mountain bike.

WILAYAHKU: Apakah kemudahan yang disediakan di pit stop sepanjang PCR?

ASMAH: Kami menyediakan enam pit stop di sepanjang PCR yang dilengkapi dengan pembaikan dan pam basikal (self-repair station), tandas awam, water cooler, parkir kenderaan, medan selera dan surau serta penunggang basikal akan melalui 25 checkpoint yang dipilih berdasarkan pemandangan yang terbaik bagi tujuan berehat dan bergambar.

WILAYAHKU: Apakah faktor pemilihan Anjung Floria Putrajaya di Presint 4 sebagai pit stop utama (0.0 km)?

ASMAH: Pit stop di Anjung Floria merupakan kawasan strategik dari segi kedudukannya yang berhubung dengan sisiran Tasik Putrajaya, laluan sikal dan pejalan kaki sisiran tasik serta laluan cruise di samping menawarkan pelbagai kemudahan asas yang diperlukan oleh penggemar sukan berbasikal terutama dalam acara-acara berkumpulan seperti Cyclist Cafe, parkir kereta, tandas awam, surau dan tempat rehat. Selain daripada berbasikal, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah seperti berjalan kaki, berjoging, berkelah, memancing dan berkayak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas