Berita

Rasai pengalaman canting batik di Teja Arts & Crafts

AIDA yang juga isteri kepada Muhammad Hafiz melakukan proses mencanting corak yang akan digunakan pengunjung semasa bengkel mewarna batik
- Diterbit 26 November 2022 1:00 AM MYT

KUALA Lumpur bukan sahaja terkenal sebagai pusat pertembungan budaya malah ia juga menghimpunkan pelbagai tempat menarik untuk dilawati oleh pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Salah satu tarikan lokasi yang menarik serta kaya dengan seni tradisi adalah Teja Arts & Crafts atau dikenali sebagai Teja Studio yang terletak di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang.

Popular sebagai bengkel mencanting dan mewarna batik di tengah bandar metropolitan, lokasi ini wajib dimasukkan ke dalam wish list anda sekiranya ingin merasai pengalaman unik ini.

Berpeluang menjejakkan kaki ke sini, Wilayahku teruja melihat suasana kedai berkonsepkan outdoor dan estetik yang mana ia dikelilingi pokok serta tumbuhtumbuhan yang melahirkan suasana damai.

Rata-rata pengunjung yang datang biasanya akan meluangkan masa selama satu jam setengah sehingga dua jam bagi melakukan aktiviti di Teja Arts & Crafts termasuk sesi fotografi bersama hasil kraf tangan yang dihasilkan.

MUHAMMAD Hafiz (kiri) bersama isterinya, Aida menunjukkan antara kraf tangan yang dihasilkan menerusi bengkel di Teja Arts & Crafts.

Menurut Pengasasnya, Muhammad Hafiz Sulaiman, impak tular di media sosial TikTok membuatkan orang ramai tidak putus mengunjungi lokasi ini dan sekali gus mengetahui kewujudannya.

“Kita telah wujud sejak 2018 di Balai Seni Negara, seterusnya berpindah ke KL City Walk dan kini bertapak di MATIC. Lokasi yang berubah-ubah membuatkan ramai yang tak tahu mengenai kewujudan kami di sini.

“Seiring dengan perkembangan semasa, selepas tempoh pandemik baru-baru ini, kami cuba menarik pengunjung dengan memasukkan video pendek di TikTok dan alhamdulillah ia berhasil sehingga kami tidak menang tangan,” ujarnya.

ANTARA alatan yang digunakan dalam bengkel mencanting dan mewarna batik.

Tambahnya lagi, dek kerana itu, dia menggalakkan pengunjung untuk melakukan tempahan terlebih dahulu bagi memudahkan pihaknya menguruskan tempat duduk serta menerangkan perkhidmatan yang terdapat di Teja Arts & Crafts.

Katanya lagi, kawasan tersebut mampu memuatkan seramai 30 orang pada satu masa yang mana harga aktiviti yang ditawarkan bermula RM20 sehingga RM70 untuk seorang.

“Kini kita juga turut mempunyai harga promosi seperti ‘combo couple bestie’ iaitu RM50 untuk dua orang,” ujarnya.

 

BENGKEL SENI DAN KRAF

IA juga turut menawarkan khidmat bengkel seni yang menyediakan pelbagai corak batik secara rawak untuk dipilih oleh pengunjung yang ingin menghasilkan kraf tangan.

“Corak tersebut lebih moden seperti floral, fauna, abstrak dan geometri mengikut citarasa pengunjung dan dalam masa yang sama kita akan memberi tunjuk ajar cara mewarna batik.

“Bagi bengkel mencanting batik pula, kita akan ajar dari awal bagaimana membuat batik, teknik yang betul dan pengunjung boleh membuat rekaan sendiri di atasfabrik kosong sama ada di bingkai atau di atas totebag,” ujarnya menjelaskan ia antara usaha memperkenalkan batik Malaysia kepada golongan muda dan pelancong luar.

Pengunjung juga boleh mencipta kenangan dengan menghasilkan cenderamata sendiri di samping mempelajari proses pembuatan tersebut daripada pelukis seni (artisan) yang berpengalaman.

“Antara kraf tangan yang boleh dihasilkan adalah tie-dye T-shirt, resin dan coaster. Setiap produk dan karya yang dihasilkan boleh dibawa pulang untuk dijadikan kenangan,” ujarnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas