Artikel

Rasa capati sebenar, Joginder ada rahsianya

JOGINDER Singh, menunjukkan kemahirannya membuat capati.
JOGINDER Singh, menunjukkan kemahirannya membuat capati.
- Diterbit 19 Julai 2019 1:15 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

CAPATI merupakan antara makanan popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi makanan masyarakat berketurunan India malah pelbagai kaum lain termasuk orang Melayu turut meminati makanan tersebut.

Tekstur yang lembut dan gebu pasti terasa sekiranya adunan diuli dengan baik. Ditambah pula kepakaran tukang masak yang berjaya mengawal api dan memanggang capati dengan teknik tersendiri.

Dihidang bersama kari kambing dan kuah dal, keenakan capati pasti terasa. Sesiapa yang melihatnya akan terpikat untuk menikmatinya. Jangan terkejut sekiranya ada yang tiba-tiba menambah sekeping demi sekeping capati ketika menikmati juadah itu.

Bagi mendapatkan kepuasan rasa capati sebenar di ibu negara, Restoran Santa Chapati House di Jalan Sarikei, Kuala Lumpur semestinya menjadi pilihan utama.

Keenakannya menepati cita rasa setiap golongan masyarakat. Menariknya, di sini, rasa capatinya tidak manis dan berlemak serta bebas minyak. Ekoran itu, pemiliknya, Joginder Singh, 64, menjadikan hidangan kesihatan yang disarankan pakar pemakanan itu sebagai menu utama di kedainya.

Menurut anak ketiga daripada enam orang adik-beradik ini, resepi capati di kedainya merupakan warisan turun-temurun sejak lebih 20 tahun ditubuhkan. Malah nama restoran juga diambil daripada nama ayahnya, Santa.

Kesedapan capati juga menyebabkan Restoran Santa Chapati House tidak lekang daripada kunjungan orang ramai walaupun mempunyai dua lagi kedai iaitu di Jalan Tun H. S. Lee dan Lebuh Ampang. Kesemua kedai dimiliki oleh adik-beradik Joginder.

Menceritakan tentang keenakan capati, Joginder tanpa lokek membuka rahsia yang menjadikan makanan istimewa itu sedap dan gebu.

“Kita menggunakan dua buah dapur untuk memanggang capati. Dapur pertama menggunakan api perlahan dan dapur kedua pula api kuat.

“Teknik kawalan api sangat penting semasa memasak capati supaya tidak liat dan keras. Tekstur dan rasa yang sedap bergantung kepada cara memasak,” katanya yang turut menjaga kualiti capati yang dihasilkan.

Teh susu lembu

Di Santa Chapati House, tidak lengkap sekiranya pelanggan tidak menikmati teh susu lembu istimewa yang dibancuh menggunakan resepi rahsia. Susu berkenaan juga berasa halus ketika diminum serta tidak berbau hamis.

Selain itu, kuah dal kacang kuda juga menjadi idaman pelanggan kerana dimasak tanpa menghancurkan kacang tersebut.

Kelikatan kuah serta bijian kacang kuda juga menambah keenakan capati. Rawa tosai special yang dihidang bersama kari ikan turut mengiurkan. Kerangupannya sesuai dengan cita rasa kanak-kanak di samping menu tambahan seperti chicken valvel yang sedikit kepedasan.

Tidak lengkap sekiranya pengunjung tidak mendapatkan manisan seperti gulab jamun, jalebi, peda dan ladoo yang dibuat khas. Pastinya manisan-manisan ini memberi tenaga tambahan serta menambahkan kesegaran.

SETIAP hari, Kedai Santa Capati akan dipenuhi orang dan tidak mengira bangsa yang datang.
JOGINDER Singh, menunjukkan jenis kuah yang disediakan di restorannya.
PENGUNJUNG boleh memilih sendiri kuah kesukaan mereka.
ANTARA pengunjung yang sering mengunjunggi Santa Capati untuk merasa keenakan capati.
JOGINDER Singh, menunjukkan capati yang menjadi tarikan utama di restorannya.
ROTI Canai juga turut disediakan di Restoran Santa Capati.
RESTORAN Santa Capati yang terletak di Jalan Sarikei.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas