Berita

Rancangan hantar pelumba ke Kejuaraan FIM CEV Repsol diteruskan – SIC

- Diterbit 15 Januari 2021 5:55 AM MYT

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) akan meneruskan rancangan untuk menghantar pelumba pelapis negara menyertai Kejuaraan FIM CEV Repsol di Sepanyol.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata perkara itu telah dibincang dan dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini.

“Jadi, kalau tiada aral melintang, kita akan bekerjasama dengan KBS dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk kita terus menghantar pelapis keluar menyertai CEV di Sepanyol.

“Diharap sebelum mereka bertolak, kita dapat buat persediaan untuk mereka. Sekarang ini, mereka tengah lakukan latihan fizikal,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Pelumba pelapis negara dijadualkan berlepas ke Sepanyol bagi menyertai perlumbaan CEV pada Mac ini.

Tahun lepas, seramai tiga pelumba pembangunan negara terlibat dalam saingan CEV iaitu Adam Norrodin yang beraksi dalam saingan Moto2, Syarifuddin Azman yang menyertai Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia manakala Muhammad Sharul Ezwan Sharil mewakili negara dalam saingan European Talent Cup (ETC).

Sementara itu, ditanya sama ada pelumba negara Kasma Daniel Kasmayudin telah kembali bersama pasukan SIC selepas dilihat menjalani latihan bersama pasukan itu baru-baru ini; Azhan Shafriman berkata pihaknya masih belum mempunyai perancangan untuk menyerap pelumba muda itu ke dalam pasukan SIC bagi musim ini.

“Hanya latihan, belum ada perancangan serap Kasma Daniel dalam team kita. Sekarang kita mahu fokus kepada pelapis yang ada untuk pembangunan berterusan mereka di CEV,” katanya.

Sebelum ini, Kasma Daniel mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak sedia ada bersama pasukan SAG Team dari Sepanyol, untuk Kejuaraan Dunia Moto2 musim ini walaupun mempunyai kontrak bersama SAG Team sehingga akhir 2022. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas