Berita

Ramai peniaga menangis… Gerai musnah, makanan berterabur dibadai ribut

Md Fazali Md Som
- Diterbit 20 Mei 2023 3:05 AM MYT

“RAMAI peniaga menangis apabila melihat di hadapan mata sendiri gerai mereka musnah dan ‘terbang’ dilanda ribut,” luah seorang peniaga gerai di Projek Perumahan kos rendah (PPR),  Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, apabila gerai mereka dilanda hujan lebat serta ribut kuat semalam.

Situasi getir itu dihadapi lebih 10 penjaja di mana gerai dan makanan musnah.

SEMUA gerai penjaja di Desa Tun Razak musnah akibat hujan lebat dan ribut semalam.

Peniaga nasi lemak berlauk dan Nasi Goreng Puaka, Md Fazali Md Som, 41, atau Sam berkata, kejadian pada pukul 4 petang itu berlaku dengan pantas dan barang niaga serta jualan tidak sempat diselamatkan.

“Ketika kejadian, angin kuat seolah-olah datang dari tiga penjuru. Ditambah pula dengan hujan yang sangat lebat. Saya tak tahu macam mana nak gambarkan. Terlalu kuat sehingga habis roboh semua gerai peniaga-peniaga di situ.

“Bayangkan kuatnya angin, hinggakan khemah saya ‘terbang’ sejauh hampir 200 meter dari tapak asal. Keadaan gerai tu, tak payah cakaplah. Semua musnah.

“Kami cuba mempertahankan gerai dan payung kami, tapi angin terlalu kuat. Semua melayang macam tu saja.

“Makanan yang dijual juga berterabur ditiup angin kuat. Semuanya tak dapat diselamatkan kerana kami perlu cari tempat berteduh. Iyalah, kami perlu selamatkan diri dulu,” katanya kepada Wilayahku.

SALAH seorang peniaga di PPR Desa Tun Razak, Md Fazali Md Som

Menurutnya lagi, walaupun peniaga-peniaga sedih dengan apa yang berlaku, namun mereka reda dan menganggap ini dugaan untuk menjadi lebih baik.

“Tipulah kalau cakap tak sedih. Tapi kami reda dengan ketentuan ini dan yakin Insya-Allah ada rezeki lain selepas ini.

“Apa yang penting, tidak ada yang cedera. Semua selamat.

“Cuma harapan kami, pihak berkuasa boleh membantu kami untuk bangkit semula setelah semua gerai kami musnah,” ujarnya lagi.

Difahamkan semua peniaga yang terlibat dalam kejadian tersebut belum mempunyai apa-apa perancangan memandangkan mereka tiada bajet untuk membeli gerai dan peralatan baharu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas