Berita

Ramai pelakon sudah berkahwin, “industri perlukan bakat baharu” – A Aida

- Diterbit 28 Disember 2020 11:20 PM MYT

USAHA penerbit A Aida Production, Datuk A Aida sentiasa memberi peluang kepada bakat-bakat baharu dilihat satu perkembangan sihat dalam industri seni.

Misalnya dalam drama terbaharunya terbitannya iaitu Ustazah Biker yang masih dalam penggambaran.

A Aida memilih juara Hero Remaja 2017, Alif Muhain, yang mendukung watak sebagai Danny, antara watak utama di dalam drama berkenaan. 

Tiga muka baru lain ialah Azim Yusof, Haziq Nazimuddin dan Umar Hisham yang merupakan finalis Hero Remaja 2020. 

“Rata-rata yang terpilih masih lagi ‘hijau’ dalam selok-belok dunia lakonan. Namun, saya ingin beri mereka peluang untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. 

“Masing-masing mempunyai pakej yang lengkap sebagai pelakon. Saya enggan menyekat minat dan tidak mahu mereka dilupakan selepas program terbabit tamat. 

“Siapa tahu drama ini membuka jalan yang lebih luas buat mereka untuk terus terbang lebih jauh dalam bidang lakonan,” katanya. 

Menurutnya A Aida, kebanyakan pelakon lelaki dan wanita yang sedia ada sudah berkahwin, jadi kemunculan bakat muda amatlah diperlukan industri. 

“Industri seni perlukan bakat baharu yang lebih muda untuk menghiasi kaca TV. Ditambah, kalau dilihat kebanyakan stesen televisyen menggunakan wajah pelakon sama. 

“Malah rata-rata pelakon utama yang ada sekarang sudah berkahwin dan mempunyai pendirian tertentu seperti tidak mahu melakukan beberapa adegan yang patut dilakukan dalam drama,” katanya.

Ustazah Biker yang turut menampilkan Hazman, Chacha Maembong, Watie Sadali dan Rosnah Johari  itu bakal menemui penonton tidak lama lagi di saluran Salam HD. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas