Berita

Putrajaya muncul antara bandar terbersih ASEAN

Brunei baru-baru ini.
- Diterbit 13 Februari 2020 8:14 AM MYT

PUTRAJAYA – Dengan keindahan tasik dan taman-taman, Putrajaya muncul antara bandar terbersih ASEAN apabila ia berjaya merangkul Anugerah Asean Clean Tourist City Standard Award (ACTCS) 2020-2022.

Putrajaya berada sebaris dengan dua lagi bandar di negara ini iaitu Kota Kinabalu, Sabah dan George Town, Pulau Pinang yang turut memenangi anugerah tersebut.

Putrajaya telah menerima penganugerahan tersebut di Bandar Seri Begawan, Brunei, bulan lalu. Ini merupakan pengiktirafan buat kali kedua diterima Putrajaya selepas kali pertama di Chiang Mai, Thailand bagi tahun 2018-2020.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, Asean Clean Tourist City Award merupakan pengiktirafan diberikan kepada bandar-bandar ASEAN yang telah berusaha untuk mencantikkan kawasan awam mereka.

Katanya, bandar-bandar berkenaan juga dinilai dari segi menambah baik pengurusan alam sekitar dan pengurusan sisa buangan, mempertingkatkan ruang bandar dan mempromosikan tarikan pelancongan selain meningkatkan tahap kepuasan pelancong.

AMINUDDIN (kiri) menerima Anugerah Asean Clean Tourist City Standard Award (ACTCS) 2020-2022 di Bandar Seri Begawan, Brunei baru-baru ini.

”Pihak juri membuat penilaian berdasarkan tujuh indikator yang perlu dipenuhi dan Perbadanan Putrajaya berjaya menepati kesemua indikator tersebut semasa sesi penilaian pada 18 September tahun lepas.

”Anugerah ini sudah hendak dapat kerana ada juri yang datang dan di Putrajaya mereka telah melihat seluruh kawasan Putrajaya dan bukannya hanya memilih kawasan tertentu,” katanya.

Aminuddin berkata, Putrajaya sangat bertuah kerana mempunyai bandar teratur serta tersusun dengan 40 peratus daripadanya merupakan kawasan hijau.

”PPj juga telah melaksanakan penguatkuasaan kempen Jom Guna Produk Biodegradasi, Katakan Tidak Pada Polisterin, Katakan Tidak Pada Beg Dan Straw Plastik, memperkenalkan pengangkutan alternatif mesra alam, mempergiatkan usaha kesedaran alam seperti kitar semula dan sebagainya.

“Pengiktirafan antarabangsa ini sudah tentunya dapat mengukuhkan lagi bandar Putrajaya sebagai salah satu destinasi pilihan pengunjung dan pelancong,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas