Artikel

Putrajaya: 25 tahun terus maju

PUTRAJAYA sudah berusia suku abad dan terus maju, cemerlang dan
- Diterbit 25 September 2020 1:24 PM MYT

BULAN September 2020 bererti sudah 25 tahun usia Putrajaya, mengambil kira ia mula diasas dan dibangunkan pada September 1995, atas cetusan idea Perdana Menteri Keempat, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Adi bangga kerana daripada sebuah kawasan terpencil dikenali dengan nama Prang Besar, Putrajaya yang dinamakan sempena Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, berkembang pesat menjadi kebanggaan negara. Kawasan seluas 49 kilometer persegi ini menjadi Wilayah Persekutuan pada 2001, yang ketiga selepas Kuala Lumpur dan Labuan.

Begitu pantas masa berlalu. Sudah suku abad usia Putrajaya dan kini menyambut perayaan Jubli Perak kelahirannya. Adi percaya mereka yang menyaksikan perkembangan Putrajaya akan bersetuju bahawa dalam tempoh tersebut, Putrajaya terus maju, cemerlang dan gemilang sejajar dengan kedudukannya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Cetusan idea membangunkan Putrajaya timbul atas kesedaran Kuala Lumpur yang berdiri sebagai ibu negara dan pusat pentadbiran sudah terlalu sesak. Oleh kerana itu perlu dicari sebuah pusat pentadbiran baharu yang lebih moden, tersusun dan sistematik.

Langkah ini bukan sahaja membolehkan pentadbiran kerajaan dijalankan dari tempat yang lebih selesa, ia juga mewujudkan identiti baharu di mana pusat pentadbiran Persekutuan terletak di kawasan asing dan tersendiri, tidak lagi berpayung di Kuala Lumpur yang sesak dan sibuk.

Bagi Adi, pastinya ini juga satu kebanggaan. Bukan semua negara di dunia mempunyai bandar pentadbiran berasingan dari ibu negara serta tidak terdedah kepada kesesakan dan kesibukan melampau.

Perpindahan pusat pentadbiran ini sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara. Kuala Lumpur sudah diakui sebagai bandar raya dikenali di dunia di samping sebagai pusat ekonomi negara.

ACUAN SENDIRI

Berbanding dengan Kuala Lumpur yang dianggap bandar raya peninggalan penjajah, Putrajaya dibangunkan oleh anak Malaysia dengan menurut acuan sendiri serta sesuai dengan citarasa sendiri. Sejajar itu pembangunannya banyak menampilkan ciri-ciri budaya tempatan.

Justeru bagi Adi, Putrajaya sebagai sebuah bandar terancang yang terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur, dianggap penanda aras pembangunan dan pentadbiran sesebuah bandar, baik di dalam negara atau peringkat antarabangsa.

Putrajaya bermula sebagai pusat pentadbiran pada tahun 1999 apabila Kompleks Perdana  Menteri mula beroperasi. Selain sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, pelbagai kemudahan lain disediakan di Putrajaya. Ini termasuk kemudahan perumahan, komersial, kesihatan, sosial dan keagamaan.

Pendek kata Putrajaya adalah satu bandar pakej serba lengkap. Sejajar dengan matlamat menjadikannya sebagai bandar pintar dan taman, Putrajaya juga terletak dalam laluan Koridor Raya Multimedia di Cyberjaya.

Reka bentuk bangunan berteraskan reka bentuk tempatan, diselitkan dengan reka bentuk Iran dan juga Moorish. Tasiknya yang luas memukau mata memandang, diserikan dengan perkhidmatan cruise mengelilingi tasik untuk pengunjung. Selain itu untuk orang ramai bersantai, ada Taman Botani dan Wetland.

Untuk menyeimbangkan pertumbuhan rohani dan fizikal, perancangan juga sedang dibuat untuk mewujudkan ‘Perkampungan Al-Quran’ di Putrajaya. Termasuk dalam projek ini ialah pembinaan sebuah masjid baharu di Precint 14. Selain itu kaedah pelajaran dan pembelajaran ilmu berteraskan Al-Quran akan dipertingkat dan diperhebat. Ini semua menambahkan kehebatan Putraya sebagai bandar ‘rohani dan jasmani’.

KAWASAN PARKIR

Namun untuk menambah baik status Putrajaya, Adi fikir masih ada yang boleh dilakukan. Misalnya mengenai masalah tempat letak kenderaan atau parkir yang masih belum mencukupi.

Sebagai pusat pentadbiran yang menempatkan pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, Putrajaya sepanjang masa menjadi tumpuan ramai. Namun Adi perhatikan masalah yang sering menghantui para pengunjung yang datang berurusan ialah kekurangan tempat letak kenderaan, khususnya di kawasan-kawasan pejabat kerajaan.

Adi tidak pasti sama ada tempat letak kenderaan awam ini telah tidak diberi penekanan dalam perancangan awal Putrajaya. Namun ia bukan tidak boleh diatasi dan boleh dilakukan sekarang. Jika ada kekangan tanah untuk kawasan parkir, boleh buat parkir bertingkat.

Putrajaya juga dianggap sebagai kurang berseri dan sunyi di waktu malam. Mungkin pihak Perbadanan Putrajaya boleh memikirkan langkah-langkah yang sesuai untuk menjadikan bandar pentadbiran ini lebih segar untuk penduduknya yang telah penat bekerja di siang hari. Juga untuk mereka yang datang dari luar.

Putrajaya adalah lambang kemegahan negara. Rakyat bangga dengan pusat pentadbiran kerajaan ini. Justeru Adi berharap dalam pelan pembangunan Putrajaya, aspirasi orang ramai dan warga Putrajaya hendaklah dipenuhi, seperti penambahan parkir awam yang disebutkan.

Pada masa sama, Adi harap kita semua sama-sama menjaga keindahan, kebersihan dan  kelestarian Putrajaya. Sekurangkurangnya inilah sedikit sumbangan yang boleh diberi untuk membuktikan kita semua sayang Putrajaya. Semoga Putrajaya terus maju jaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas