Berita

Pusat Sains Negara, Planetarium Negara ditutup sementara

PUSAT Sains Negara ditutup sementara bagi mengekang penularan Covid-19.
- Diterbit 16 Mac 2020 8:31 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengarahkan agar Pusat Sains Negara (PSN) dan Planetarium Negara (PN) ditutup sementara sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, tindakan ini merupakan satu usaha MOSTI untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Sebagai langkah berjaga-jaga terutamanya ketika musim cuti sekolah, PSN dan PN tidak menerima kunjungan dari orang ramai mulai awal pagi ini.

“Semua warga MOSTI termasuk PSN dan PN diingatkan agar mematuhi sepenuhnya  prosedur operasi standard (SOP) pengawalan penularan jangkitan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), ” katanya.

Menurut Khaiy Jamaluddin, penjagaan kesihatan diri yang baik juga perlu diamalkan oleh semua pihak pada setiap masa.

“Sekiranya mengalami gejala jangkitan, diminta untuk menghubungi  Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis
(CPRC) Kebangsaan,” katanya.

Tambahnya, MOSTI mengambil berat berhubung penularan Covid-19 dan bekerjasama rapat dengan KKM dalam mendepani wabak tersebut.  – WILAYAHKU

PLANETARIUM NEGARA
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas