Berita

Pusat Malaysia Rumah Keduaku ditutup hingga 30 April ini

- Diterbit 15 Mac 2020 3:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menutup semua kaunter di Pusat Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) di Aras 1 dan Aras 10, Menara 1, Presint 5 di sini, berkuatkuasa serta merta sehingga 30 April ini.

Perkara itu diputuskan Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri setelah mengambil kira kebanyakan pengunjung yang datang adalah warga asing daripada pelbagai negara.

Jelas beliau, langkah itu penting bagi mengurangkan kebarangkalian penyebaran wabak COVID-19 oleh pengunjung warga asing kepada petugas di Pusat MM2H.

“Berikutan itu, sebarang permohonan berkaitan MM2H perlu menepati prosedur-prosedur yang ditetapkan iaitu semua permohonan baru hanya boleh dikemukakan melalui pos.

“Bagi lain-lain permohonan seperti permohonan pengeluaran simpanan dan penamatan, dokumen-dokumen permohonan boleh dikemukakan melalui e-mel di [email protected].

“Bagi permohonan yang melibatkan pembayaran di Kaunter Imigresen di Pusat MM2H, pemohon perlu membuat temujanji dengan Pegawai Imigresen di Pusat MM2H terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nancy, semua pengendorsan permohonan baru akan ditangguhkan dan sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan Pusat MM2H di talian 03-8891 7424.

Tambah beliau, penutupan sementara kaunter di Pusat MM2H tidak akan menjejaskan segala urusan berkaitan dengan program berkaitan dengan adanya prosedur alternatif yang dikemukakan.

“Pembukaan semula kaunter akan dimaklumkan kelak. Saya ingin memberi jaminan bahawa Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan komited dalam menangani isu penularan wabak COVID-19 selaras dengan langkah berjaga-jaga yang diambil oleh Kerajaan,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas