Berita

Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS boleh digunakan ‘serta merta’

KEMUDAHAN yang disediakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS memberi keselesaan kepada pesakit dalam tempoh kuarantin.
- Diterbit 3 April 2020 9:09 AM MYT

SERDANG – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS di sini boleh digunakan ‘serta merta’ sekiranya dalam tempoh tiga minggu ini, berlaku peningkatan mendadak pesakit yang dijangkiti wabak berkenaan.

Ini kerana, pusat yang dibangunkan sebagai salah satu usaha proaktif kerajaan dalam mempersiapkan kemudahan kesihatan itu sudah hampir siap dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan utama.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba, berkata, kerajaan sentiasa memandang ke hadapan segala kemungkinan yang boleh berlaku dan persiapan tersebut memenuhi keperluan mitigasi dalam wabak Covid-19.

“Persiapan ini tidak boleh buat sekiranya kes dah bertambah banyak. Untuk itu, kita buat advance langkah ke hadapan bagi memastikan bahawa dia mesti mencukupi anggaran yang kita fikir munasabah.

“Jika wabak ini berlaku dan ia masih terkawal, kalau tidak terkawal kita memiliki keupayaan yang patut untuk dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS di sini hari ini.

Menurut Dr. Adham, pembangunan yang dilaksanakan dalam tempoh tiga hari itu adalah hasil kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi kerajaan.

Ujar beliau, bagi memastikan keselesaan kepada pesakit dalam tempoh kuarantin, pusat tersebut dilengkapi keperluan katil, meja, kerusi, bilik persalinan pesakit, wifi, komputer, ruang rehat dan pelbagai kemudahan lain.

“Bilik rawatan pesakit yang lengkap dengan peralatan kecemasan juga disediakan sebagai persediaan sekiranya terdapat kes yang memerlukan. Pusat ini juga dilengkapi kemudahan untuk anggota bertugas dan ruangan mereka diasingkan dari ruang klinikal.

“Lain-lain perkhidmatan yang disediakan adalah perkhidmatan diet dan sajian pesakit, kaunseling, kesihatan dan keselamatan pekerjaan, farmasi, x-ray, makmal patologi, sisa am dan klinikal, serta penyelenggaraan kemudahan dan keselamatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Adham turut menyatakan, pada masa ini hospital dan lain-lain kemudahan seperti Institut Latihan KKM serta lain-lain kemudahan masih dapat menampung jumlah pesakit yang meningkat.

Terdahulu, Hospital Covid-19 yang digazetkan adalah 40 buah dengan 6,917 katil untuk pesakit dan 410 katil untuk kes kritikal manakala 634 unit ventilator. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas