Berita

Pusat jagaan perlu lebih masa laksana pra-pendaftaran pelan vaksinasi

- Diterbit 25 Februari 2021 3:32 AM MYT

PERSATUAN Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas Malaysia (AgeCOpe) berharap agar Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKAV) memberi lebih masa kepada pusat jagaan berlesen dan tidak berlesen bagi membuat pra-pendaftaran program vaksinasi COVID-19.

Presiden persatuan Delren Terrence Douglas berkata masa lebih panjang diperlukan untuk menyediakan pelan pentadbiran vaksin di tempat jagaan dan memperuntukkan sekurang-kurangnya 30,000 dos vaksin kepada petugas dan penghuni pusat jagaan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Beliau berkata sebagai pengendali pusat jagaan warga emas, rumah orang tua dan rumah jagaan, persatuan berpendapat vaksinasi COVID-19 adalah antara keperluan penting dalam usaha memerangi pandemik, selain ujian saringan serta kawalan pencegahan jangkitan yang berkesan.

“AgeCOpe sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  serta agensi, jabatan dan pasukan petugas persekutuan dan negeri berkaitan untuk memastikan premis kami selamat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Delren turut menyambut baik langkah kerajaan untuk memperkenalkan skim pampasan kepada mereka yang mungkin mengalami kesan sampingan akibat vaksinasi COVID-19.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb, dengan Fasa 1 pada Februari hingga April 2021 membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan.

Fasa 2, pada April hingga Ogos akan melibatkan warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan berisiko tinggi dan golongan orang kurang upaya (OKU) membabitkan 9.4 juta orang manakala Fasa 3 pada Mei tahun ini hingga Februari 2022 meliputi rakyat Malaysia dan bukan warganegara berumur 18 tahun ke atas, dengan menyasarkan 13.7 juta penduduk. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas