Berita

Pupuk sikap prihatin warga TLDM

ANGGOTA TLDM bergambar kenangan bersama penduduk Kampung Sungai Bangat.
- Diterbit 19 Disember 2019 5:40 AM MYT

Oleh MD KHAIRUL AZAD YUNUS

LABUAN – Program Jiwa Murni anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengeratkan silaturahim antara anggota TLDM dan komuniti setempat di sini.

Pegawai Tadbir TLDM Pangkalan Labuan, Leftenan Madya Mohd. Amirul Fadly Jaunidi berkata, program itu berjaya mengeratkan silaturahim serta interaksi antara warga Unit Pengawasan Senggara TLDM Timur dan Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Labuan dengan masyarakat setempat.

“Selain itu, program ini juga bertujuan memupuk sikap prihatin warga TLDM Pangkalan Labuan terhadap aktiviti kemasyarakatan serta aktiviti komuniti.

“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada warga TLDM mencari pengalaman dan mempertingkatkan daya kepimpinan serta jati diri anggota,” katanya ketika ditemui pada Program Jiwa Murni Gotong-Royong Membersihkan Tanah Perkuburan Islam Tanjung Pangkalan Merabau, Kampung Sungai Bangat baru-baru ini.

Mohd. Amirul memberitahu, program itu melibatkan 21 warga TLDM Pangkalan Labuan dan merupakan penganjuran kali ketiga.

Jelas beliau, pendekatan kali ini adalah sama dengan penganjuran sebelumnya iaitu untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat namun program yang dianjurkan adalah berbeza-beza.

“Kali ini, kita laksanakan pembersihan di sekitar pantai Tanjung Purun dan mengubah suai landskap taman Sekolah Kebangsaan Membedai Pangkalan Tentera Udara Labuan.

“Penduduk setempat juga memberi maklum balas positif dan kerjasama serta berharap agar program tidak terhenti setakat ini,” katanya.

Tambahnya, TLDM akan melaksanakan program seperti ini setiap suku tahun dan mengharapkan kerjasama daripada penduduk setempat agar dapat menjayakan program kemasyarakatan di masa akan datang.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Bangat, Osman Dullah dan Pengerusi Surau Al Mubarakah, Kampung Sungai Bangat Ismail Mohamad.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas