Berita

Punca dua anggota PGA maut tertembak diri sendiri masih dalam siasatan

- Diterbit 11 Ogos 2020 7:47 AM MYT

PUNCA sebenar dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang maut dipercayai tertembak diri sendiri dalam dua kejadian berasingan di Perak dan Kedah, masing-masing pada 19 Julai dan 7 Ogos lalu, masih belum dapat dipastikan.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (PGA) Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, punca sebenar mangsa tertembak masih dalam siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), negeri masing-masing.

“Dalam siasatan pentadbiran kita, tiada isu yang sepatutnya sehingga berlakunya kejadian begini. Jika ada isu lain sekali pun (sebelum kejadian), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) membantu dari segi nasihat dan bimbingan kaunseling, sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Batalion 3 PGA Bidor, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 19 Julai lalu, seorang anggota PGA maut dipercayai menembak diri sendiri dalam kejadian kira-kira 9.25 malam, di Berek Polis Pantai Remis, Lumut.

Difahamkan, mangsa bertugas di Batalion 18 Senoi Praaq, Pangkalan Hulu, dan terlibat dengan Op Benteng COVID-19 di Manjung, menembak diri sendiri di bahagian kepala menggunakan senjata api jenis M4 dan mangsa telah dibawa ke Hospital Seri Manjung, sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 malam.

Sementara itu, pada 7 Ogos lalu, seorang anggota PGA dikenali sebagai Muhammad Aslam Ahmad, 31, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, selepas dipercayai tertembak diri sendiri di bilik rehat Markas Latihan Luar Tupah, Pusat Latihan PGA (PLPGA) di Bedong, Kedah dalam kejadian pada 5.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata sebelum kejadian, pada 4.30 pagi mangsa telah hadir ke bilik pengawal dan mengarahkan dua anggota yang bertugas untuk membawa kelengkapan berserta senjata ke bilik rehat untuk diperiksa. -Bernama

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas