Berita

PSM Sedia panggil Syahir

- Diterbit 23 Mac 2021 8:28 AM MYT

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersedia memanggil semula bekas tekong utama negara, Mohd Syahir Rosdi untuk menyertai skuad kebangsaan selepas digugurkan pada 2019.

Presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail berkata Mohd Syahir perlu menjalani ujian simulasi ditetapkan pihaknya dahulu sebelum membuat keputusan penyenaraian semula pemain berkenaan.

“Pada dasarnya, Jawatankuasa Pembangunan Atlet dan Pengurusan PSM telah bersetuju untuk menganjurkan kejohanan berbentuk simulasi dari 8 hingga 10 April nanti.

Kita akan bagi dia (Mohd Syahir) menentang regu yang kuat kerana dari apa yang saya lihat, prestasinya di pentas final STL (Divisyen Premier Liga Sepak Takraw ) sebelum ini begitu baik seolah-olah seperti kembali ke zaman kegemilangannya pada 2014 lalu,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Ahmad berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA  2021  di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini.

Mengulas lanjut, ujian simulasi itu dilakukan kerana merasakan tidak adil bagi pemain lain sekiranya Mohd Syahir terus diberikan ruang menyertai skuad kebangsaan tanpa bersaing dengan mereka.

Katanya hukuman dikenakan ke atas Mohd Syahir sebelum ini bertujuan mendidik pemain KL Thunder  dalam saingan STL itu dan percaya peluang kedua perlu diberikan kepadanya sekiranya beliau benar-benar telah berubah.

PSM  telah menggugurkan Mohd Syahir Rosdi dan seorang lagi tekong kebangsaan, Muhammad Zulkifli Abd Razak  pada Jun 2019 daripada skuad negara atas faktor disiplin.

Sementara itu, Ahmad memaklumkan PSM akan menganjurkan Terbuka Grand Prix (GP) selepas Aidilfitri nanti untuk menggantikan saingan STL berikutan jadual padat liga berkenaan, sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, hujung tahun ini.

“Kami juga merancang untuk menjemput pasukan dari negara luar beraksi pada Terbuka GP sekiranya sempadan negara dibuka nanti manakala STL dijangka bersambung semula selepas Sukan SEA,” katanya.- BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas