Berita

Proses penangguhan bayaran balik PTPTN lebih cekap, tiada birokrasi

- Diterbit 20 Januari 2021 5:56 AM MYT

SEJAJAR Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada Isnin lalu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memastikan proses memohon penangguhan dilakukan dengan kaedah yang paling mudah dan paling berkesan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat di samping menghapuskan pelaksanaan birokrasi berlebihan dalam program bantuan berkaitan.

“Keputusan ini adalah bukti keprihatinan kita kepada mereka yang terjejas akibat musibah banjir yang melanda.

“Saya harap penangguhan yang diberikan ini dapat sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung peminjam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pengumuman PERMAI, Muhyiddin memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam PTPTN yang terjejas akibat bencana banjir.

Untuk memudahkan urusan peminjam PTPTN, pelaksanaan penangguhan bayaran balik boleh dilakukan dengan mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/PenangguhanKhasBayaranBalik mulai 20 Januari 2021 sehingga 31 Mac 2021 dan tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan.

Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir akan diberikan untuk tempoh tiga bulan bermula bulan yang sama kelulusan permohonan diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan antara Januari hingga Mei 2021.

Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03 – 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, pukul 9 pagi hingga 5 petang atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my di ruangan Soalan Lazim. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas